Mahathir Kalah Lagi Dengan Najib, Kali Ini di Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Tolak Permohonan Kes Saman Misfeasans Mahathir Terhadap Najib

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk menyemak semula keputusan mahkamah sebelum ini berhubung kes saman misfeasans mereka terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir dan Khairuddin memohon semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menolak permohonan kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang membatalkan saman mereka.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dalam keputusan sebulat suara hari ini berkata, kes itu bukan kes luar biasa untuk mahkamah melaksanakan kuasanya membuat semakan semula.

“Pada pandangan kami, permohonan semasa tidak memenuhi kriteria menurut Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995,” katanya.

Hakim Azahar juga berkata tidak wujud isu bias.

“Kami juga tidak nampak salah laksana keadilan,” kata Hakim Azahar yang bersidang bersama-sama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Dr Mahathir dan Khairuddin memfailkan saman misfeasans terhadap Najib pada 23 Mac 2016 dengan mendakwa bekas perdana menteri (Najib) itu telah menyalahgunakan pejabat awam kerajaan dan menyeleweng dalam tugas berhubung pengurusan dana syarikat pelaburan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 28 April 2017, Mahakamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman itu dengan memutuskan bahawa perdana menteri bukan penjawat awam tetapi adalah anggota pentadbiran.

Pada 30 Ogos 2017, Mahkamah Rayuan menolak rayuan yang dikemukakan oleh Dr Mahathir dan Khairuddin.

Dr Mahathir dan Khairuddin tidak dapat meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan dalam usaha mengembalikan semula saman mereka apabila panel tiga hakim yang bersidang di Mahkamah Rayuan pada 27 Feb 2018, diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif, menolak permohonan kebenaran merayu yang dikemukakan mereka.

Pada prosiding hari ini, peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir dan Khairuddin, mengemukakan hujah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menolak permohonan kebenaran merayu serta permohonan menggugurkan Raus sebagai tidak berasas.

Beliau berhujah bahawa Raus seharusnya menarik diri daripada pendengaran permohonan kebenaran merayu disebabkan Dr Mahathir pernah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar kesahan pelantikan Raus selepas beliau mencapai usia mandatori persaraan hakim pada 66 tahun.

Katanya, Raus bagaimanapun tidak menarik diri dan mahkamah meneruskan pendengaran kes tersebut.

Peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun berkata, isu itu merupakan akademik kerana Mahkamah Persekutuan sudah membuat keputusan berhubung isu serupa dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee terhadap Najib.

Mohd Hafarizam berkata, semakan semula hanya untuk keadaan luar biasa dan terhad, dan kes pemohon tidak menepati keadaan tersebut.

Katanya keputusan yang dibuat oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini untuk tidak menggugurkan Raus daripada pendengaran permohonan kebenaran merayu adalah tidak bias dan merupakan budi bicara mahkamah.

Peguam kanan persekutuan S. Nakunavathy menjadi peguam pemerhati bagi pihak kerajaan.

Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker