Isu kemerosotan pendapatan Syarikat Senaraian Awam perlu ditangani – Wahid Omar

Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar hari ini menegaskan keperluan untuk menangani isu kemerosotan pendapatan Syarikat Senaraian Awam (PLC), termasuk mengalami penyusutan sebanyak 5.4 peratus bagi tempoh 2015 sehingga 2019.

Menurutnya, ini penting kerana walaupun Malaysia tersenarai antara kisah kejayaan ekonomi di Asia sejak beberapa dekad lepas, namun terdapat keperluan lain pada hari ini yang perlu dibincangkan.

“Apakah kita akan memanfaatkan tempoh unik ini untuk lebih maju atau adakah kita akan kembali kepada status quo (keadaan sedia ada tanpa mencatat perubahan)? Inilah yang membawa kita kepada subjek ketiga iaitu mengenai kepentingan PLC untuk terus berupaya mencatat prestasi,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Invest Malaysia 2020 di sini, hari ini.

Abdul Wahid berkata, sejak lima tahun lepas, pasaran domestik terpaksa berdepan beberapa cabaran akibat pertikaian perdagangan yang meruncing, unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan serta pendapatan korporat yang tidak memberangsangkan.



“Bersandarkan perubahan pesat yang berlaku, usaha melangkah ke hadapan dengan membawa bersama status quo itu seakan tidak dapat dielakkan.

“(Sehubungan itu) kita perlu meneliti semula dan mungkin juga mencontohi kejayaan lampau seperti Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya.

Malah, katanya, bagi tempoh 2004-2015, terdapat banyak GLC yang berjaya diangkat sebagai syarikat dengan prestasi lebih baik, tadbir urus lebih mantap serta meningkatkan peranan dari segi sumbangan terhadap pembangunan negara.

Bagi tempoh 11 tahun lepas misalnya, keuntungan bersih 17 GLC menokok sebanyak 10.2 peratus setahun iaitu mencecah RM26.2 bilion berbanding RM9.9 bilion sebelumnya manakala gabungan modal pasaran syarikat terbabit juga meningkat 2.9 kali kepada RM386 bilion berbanding RM133.8 bilion.



Ini, jelas beliau, mewakili jumlah pulangan pemegang saham sebanyak 11.1 peratus setahun manakala bukan GLC mencatat prestasi sama pada tempoh itu sebagaimana dipaparkan dalam peningkatan FBM KLCI daripada paras 907.43 kepada 1,692.51 atau kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 5.8 peratus.

“Tiba masanya untuk pemegang saham, termasuk Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk menuntut lebih banyak lagi daripada Lembaga Pengarah serta pengurusan PLC yang mereka labur,” katanya.

Abdul Wahid berkata bagi membantu pemulihan pasaran modal Malaysia, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti telah memperkenalkan langkah bagi meringankan beban kewangan serta memberi fleksibiliti lebih ketara untuk membolehkan pihak berkepentingannya dapat mengharungi masa mencabar ini.

“Asas-asas kita yang kukuh ini telah memberi sedikit daya tahan bagi menampan ketidaktentuan ekonomi global.



“Menurut Bank Dunia, walaupun Malaysia sepertimana ekonomi lain terjejas teruk akibat COVID-19, namun struktur ekonominya yang pelbagai serta rekod pengurusan makroekonomi yang baik ternyata menjadi antara faktor penyumbang kepada daya tahan kita. Ini meletakkan Malaysia di kedudukan baik untuk pulih daripada krisis ini,” katanya.

Abdul Wahid berkata, ini jelas dipaparkan oleh indeks penanda aras FBM KLCI yang menjadi indeks mencatat prestasi terbaik dalam kalangan pasaran ASEAN dengan hanya susut 5.5 peratus pada separuh pertama 2020 berbanding Indeks STI Singapura yang merosot 19.6 peratus manakala Indeks SET Thailand menguncup 15.2 peratus bagi tempoh sama pada 2019.

Malah, indeks tempatan itu turut mengatasi pasaran serantau ini ketika tempoh COVID-19.

Beliau berkata, indeks penjagaan kesihatan mencatat pulangan amat memberangsangkan sebanyak 86.9 peratus bagi separuh pertama 2020 apabila (syarikat) pengeluar terkemuka di peringkat antarabangsa terus menarik perhatian pelabur dan memanfaatkan momentum kukuh sebelum berlakunya pandemik sebagai penerima potensi susulan lencongan perdagangan Amerika Syarikat-China.



Sektor penjagaan kesihatan turut berada di kedudukan kelima dalam kalangan sektor dagangan utama selain teknologi, produk dan perkhidmatan pengguna serta tenaga yang membuktikan bahawa pelabur berteraskan strategi berpandangan jauh.

“Saya yakin pasaran kewangan kita yang telah dibangunkan dengan baik ini akan terus berupaya menarik pelaburan,” katanya.

— BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker