Hari Felda : Generasi Baharu Perlu Martabat Legasi Felda

Oleh Erda Khursyiah Basir

Rencana ini adalah bersempena sambutan Hari Peneroka Felda 2020, peringkat kebangsaan yang disambut pada 7 Julai setiap tahun.

Generasi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu memartabat dan meneruskan perjuangan ibu bapa mereka sebagai peneroka untuk memastikan kelangsungan pembangunan agensi itu.

Presiden Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF), Fakhrurrazi Mohd Habib berkata, untuk itu, ruang dan peluang harus diberikan kepada generasi muda agar mereka berasa lebih ‘dekat’ dan selesa sebagai sebahagian daripada masyarakat peneroka.

“Felda kini sudah berusia 64 tahun. Jika sebelum ini tumpuan diberikan kepada peneroka yang majoritinya sudah berusia, saya kira sudah sampai masanya kita melibatkan generasi baharu Felda pula. Ini kerana merekalah yang akan menjadi pelapis, pewaris dan meneruskan perjuangan Felda.

“Ketika ini, kita hanya ada sekitar 54 peratus peneroka daripada jumlah 112, 638 keluarga yang ada di 317 tanah rancangan Felda. Daripada 54 peratus itu, jumlah peneroka yang masih sihat adalah sekitar 18 hingga 20 ribu orang sahaja dengan purata umur 68 tahun.

“Dengan jumlah peneroka yang semakin berkurangan serta kudrat yang semakin terbatas, situasi ini menuntut supaya peranan dan tanggungjawab peneroka diteruskan oleh anak-anak dan cucu mereka,” katanya kepada Bernama dalam temubual baru-baru ini, bersempena Hari Peneroka Felda 2020, peringkat kebangsaan yang disambut pada 7 Julai setiap tahun.

KAF yang dirasmikan pada 14 Mac 2016 bertujuan menjadi platform mengembangkan ekonomi anak-anak Felda terutama dalam aspek latihan, infrastruktur serta beberapa inisiatif lain.

PENEROKA GANTI

Fakhrurrazi adalah generasi ketiga Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu, Selangor dan ayahnya adalah generasi kedua. Datuk beliau sebelah bapanya adalah kumpulan peringkat pertama (1962) Felda Gedangsa sementara datuk sebelah ibu beliau, peringkat ke-empat (1963) di Felda yang sama.

Mengulas lanjut, Fakhrurrazi berkata istilah ‘peneroka ganti’ mungkin boleh dipertimbangkan untuk diberikan kepada waris peneroka bagi menunjukkan mereka juga mempunyai peranan dan tanggungjawab besar kepada Felda.

“Dengan penggunaan istilah yang lebih sesuai, mereka juga secara tidak langsung dapat berasa memikul tanggungjawab untuk terus mempertahankan kewujudan Felda,” katanya.

Seiring dengan tema sambutan Hari Peneroka Felda pada tahun ini iaitu ‘Peneroka Perintis, Berani dan Suka Cabaran’, beliau berkata generasi baharu Felda juga perlu bersedia serta berani menyahut cabaran seperti yang telah dilalui oleh generasi terdahulu.

“Mereka perlu sedar bahawa mereka golongan yang bertuah dan legasi Felda ini perlu diteruskan. Mereka wajar mengambil semangat dan keberanian peneroka Felda yang asalnya daif dan terasing namun akhirnya menjadi kumpulan masyarakat yang boleh dicontohi dan disegani,” katanya.

‘KEMBALI’ KE FELDA

Bagi menghargai segala usaha, pengorbanan serta penat lelah yang telah dilakukan oleh golongan peneroka, generasi baharu juga perlu ‘kembali’ kepada Felda.

“Maksud kembali kepada Felda bukanlah semua orang perlu balik dan menetap di tanah rancangan tetapi setidak-tidaknya dalam sebuah keluarga ada seorang yang mengambil alih tugas dan peranan ibu bapa mereka sebagai peneroka sebelum ini.

“Kembali kepada Felda juga bermaksud generasi baharu Felda rela menyumbang bakti dan tenaga mereka demi kebaikan Felda. Kita mahu supaya mereka sentiasa ingat akan asal-usul dan paling penting terus menghargai Felda.

“Kita juga mahu generasi baharu Felda mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa Felda sebagai ‘tempat’ untuk orang Melayu,” katanya sambil menyokong saranan yang dibuat baru-baru ini agar kerajaan mewartakan kesemua tanah Felda yang dimiliki peneroka sebagai tanah rizab Melayu.

Cadangan itu dikemukakan oleh Pengerusi Yayasan Peneroka Negara, Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof kerana bimbang tanah berkenaan akan bertukar milik kepada pihak lain, ekoran banyak tanah di kawasan Felda dibangunkan untuk tujuan perumahan dan komersial.

PERBAIKI MODAL INSAN

Fakhrurrazi dalam masa yang sama turut berpendapat, usaha ‘menarik’ generasi baharu kembali ke Felda bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan, namun memerlukan usaha bersepadu semua pihak untuk meyakinkan golongan itu.

Selain galakan daripada pihak kerajaan dan inisiatif Felda sendiri, penerangan berterusan perlu diberikan agar generasi muda hari ini terutama yang berhijrah ke bandar lebih memahami kepentingan mereka kepada agensi itu.

“Felda dahulu dan sekarang jauh berbeza. Felda dari zaman pembukaannya kepada ketika membangunkannya, zaman kesenangan dan seterusnya zaman dihimpit pelbagai ‘ujian’. Dari sudut infrastruktur kita memang sudah jauh berubah dengan adanya pelbagai kemudahan yang lengkap dan sempurna seperti sekolah, klinik kesihatan dan pelbagai lagi yang memanfaatkan warga Felda.

“Namun begitu, kita mungkin perlu pembaikan daripada aspek modal insan terutama yang melibatkan anak-anak Felda. Mereka mungkin kurang berminat untuk meneruskan apa yang diusahakan oleh ibu bapa mereka dan ini menjadi cabaran besar untuk kita mengajar dan meyakinkan mereka, agar aset yang dimiliki tidak disia-siakan begitu sahaja.

“Perkara ini bukan mudah namun ia juga bukan mustahil. Di bawah pimpinan baharu Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi dan juga Pengerusi Lembaga Pengarah Felda, kita berharap akan ada ‘sinar baharu’ buat warga Felda termasuk dari aspek pengurusan dan urus tadbir yang lebih baik, mengelakkan berlakunya ketirisan serta kebajikan warga Felda dapat dijaga secara keseluruhannya,” katanya.

SUARA ANAK MUDA

Turut berkongsi pandangan, Timbalan Presiden Persatuan Sukan Bermotor Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Mohd Faizol Fuad Mohd Sallehhan, yang berkata, sokongan berterusan harus diberikan kepada generasi pewaris Felda supaya mereka boleh menyumbang ke arah kemajuan agensi itu.

“Ini termasuklah sokongan untuk mereka tampil menyuarakan pendapat dan pandangan untuk penambahbaikan Felda,” katanya.

Sebagai generasi ketiga Felda Soeharto, Selangor, beliau berkata taraf ekonomi masyarakat Felda hari ini semakin baik termasuk dengan wujudnya lebih banyak peluang perniagaan untuk penghuni Felda baik secara tradisional mahupun secara dalam talian.

“Anak-anak muda Felda boleh mengorak langkah lebih jauh dengan adanya peluang dan platform yang diwujudkan termasuklah melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Felda bagi membantu mengembangkan bakat dan kebolehan mereka,” katanya.

Bernama

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker