Batal saman : Syed Saddiq ucap selamat tinggal kepada PPBM

Syed Saddiq tarik balik saman PPBM batal keahliannya.

Bekas ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik balik saman sivil yang difailkan terhadap parti itu kerana melucutkan keahliannya pada akhir Mei lalu.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata demikian dalam kenyataan hari ini selepas parti itu melantik Naib Ketua Pemuda PPBM, Aizad Roslan untuk mengetuai sayap itu menggantikannya.

“Kalau nak ambil parti, ambillah. Kalau nak buang nombor keahlian saya, buanglah. Saya tidak akan melengah-lengahkan usaha tuan-tuan sekalian.

“Saya akan sentiasa mencipta ruang untuk membina negara. Bagi saya, rakyat dan negara itu paling utama.”

PPBM menghentikan serta-merta keahlian bekas pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad dan 4 ahli Parlimen lain, termasuk anaknya Mukhriz, Syed Saddiq, Amiruddin Hamzah serta Maszlee Malik pada 28 Mei lalu atas alasan mereka duduk bersama blok pembangkang pada sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu.

Susulan itu, 5 ahli Parlimen itu bersama bekas setiausaha agung PPBM, Marzuki Yahya memfailkan saman untuk mencabar keputusan parti itu melucutkan keahlian mereka pada 9 Jun lalu.

Mereka berkata, keputusan memberhentikan keahlian mereka tidak sah kerana Setiausaha Kerja, Muhammad Suhaimi Yahya tiada kuasa menyingkir mereka disebabkan kedudukannya tidak diiktiraf perlembagaan parti.

Mereka juga mempertikaikan penggunaan Perkara 10.2.2 dan 10.2.3 yang hanya menyatakan keahlian terlucut jika ahli berkenaan menyertai parti politik lain atau keluar PPBM.

Mereka berenam mahu keahlian mereka dikembalikan serta membatalkan keahlian Muhyiddin, Suhaimi serta Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin atas alasan mereka menyertai Perikatan Nasional.

Syed Saddiq berkata, Pemuda PPBM bukan sekadar satu instrumen politik, tetapi ia adalah keluarganya.

“Walaupun ada perselisihan, saya tidak pernah sesekali membawa ia keluar dari bilik mesyuarat. Semuanya untuk menjaga dan melindungi Pemuda PPBM yang kami bina bersama.

“Pengalaman dan pengetahuan yang saya raih dalam Pemuda PPBM besar nilainya. Hubungan yang kami bina dalam Pemuda PPBM juga tidak akan putus.

“Apabila khidmat saya di dalam PPBM dan Pemuda tidak diperlukan lagi, sudah tibanya masa untuk saya pergi.”

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau menyertai bidang politik bukan untuk jaminan masa depan baik dan meraih kemewahan buat dirinya, sebaliknya parti politik ialah kenderaan untuk membela rakyat dan menjaga negara.

Katanya, beliau akan mengingati perjuangan Pemuda PPBM sebelum dan selepas pilihan raya umum ke-14.

“Waktu itu, kami tidak punya apa-apa. Jelajah dari negeri ke negeri dan singgah program rumah ke rumah.

“Tidur bermalam pun dalam kereta. Percaya atau tidak, keluarga PPBM hanya berbekalkan semangat untuk ubah negara dan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker