Bank Negara turunkan kadar faedah kepada 1.75%, terendah dalam 16 tahun.

Share

Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 1.75%, kadar terendah sejak 2004.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2% dan 1.5%.

“Pandemik Covid-19 memberikan kesan ketara ke atas ekonomi global. Keadaan ekonomi global terus lemah dengan pertumbuhan global diunjurkan negatif tahun ini,” kata bank pusat itu.

Menurut BNM, pengurangan OPR memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

“MPC akan terus menilai keadaan yang sentiasa berubah dan implikasinya terhadap prospek inflasi serta pertumbuhan dalam negeri secara keseluruhan. BNM akan terus menggunakan alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan menyokong pemulihan ekonomi berterusan.”

Walaupun paras terendah dijangka berlaku pada suku ke-2, kelemahan menyeluruh dalam pasaran kerja dan sikap isi rumah serta perniagaan yang berhati-hati boleh menjejaskan pemulihan pada masa depan.

“Beberapa ekonomi utama mula melonggarkan langkah pembendungan pandemik Covid-19 yang membawa kepada penyambungan semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur. Keadaan kewangan sudah bertambah baik, walaupun kegiatan penghindaran risiko terus tinggi.

“Risiko prospek global menjadi lebih perlahan masih wujud, terutama jika pandemik kembali menular dan memerlukan pelaksanaan semula langkah pembendungan.”

Bagi Malaysia, aktiviti ekonomi menguncup dengan ketara pada suku ke-2 tahun ini disebabkan langkah diperkenalkan untuk membendung pandemik pada peringkat global dan dalam negeri.

“Susulan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur dan berperingkat sejak awal Mei, kegiatan ekonomi mula pulih daripada paras terendah pada suku ke-2. Pakej rangsangan fiskal bersama langkah monetari dan kewangan akan terus memperkukuh prospek pertumbuhan ekonomi.”

Ekonomi dalam negeri yang diunjurkan bertambah baik dijangka terus disokong pemulihan keadaan pertumbuhan global secara beransur-ansur.

Bagaimanapun, kadar dan kekuatan pemulihan masih tertakluk kepada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca daripada faktor dalam dan luar negeri.

“Hal ini termasuk jika pandemik kembali menular yang menyebabkan pelaksanaan semula langkah pembendungan, keadaan pasaran buruh yang semakin lemah dan pemulihan pertumbuhan global lebih lemah daripada jangkaan.”

Sementara itu, BNM berkata, tekanan inflasi dijangka menjadi sederhana pada 2020 apabila purata inflasi keseluruhan berkemungkinan menjadi negatif tahun ini, mencerminkan terutamanya harga minyak dunia yang jauh lebih rendah.

“Risiko penurunan harga menyeluruh dan berterusan adalah terhad apabila kegiatan ekonomi diteruskan semula dan keadaan permintaan bertambah baik. Namun, prospek inflasi masih dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia. Inflasi asas diunjurkan rendah dan pada kadar dijangkakan.”

FMT

Leave a Reply