Apa Niat Sebenar Al – Jazeera?

oleh Lau Chin Kok

Apakah niat sebenarnya Al-Jazeera di sebalik laporan video yang bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”?

Dalam laporan tersebut, Al-Jazeera mendakwa bahawa operasi penahanan yang dijalankan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kononnya bersifat perkauman dan adalah satu langkah tersembunyi kerajaan untuk menangkap dan menghalau semua pendatang asing tanpa izin (PATI). Anehnya, mengapa pula laporan Al-Jazeera tidak fokus kepada usaha kerajaan untuk menjalankan saringan, dan mengkuarantinkan mereka yang bergejala positif, di samping membekalkan makanan dan ubat serta penjagaan kesihatan yang baik kepada mereka?

Sebaliknya, demi mensensasikan isu ini dan menarik perhatian pengikutnya, Al-Jazeera telah menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak menghormati hak asasi dan kerajaannya menyokong penyeksaan pendatang asing.

Susulan pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia, Malaysia telah bertindak dan mengambil langkah yang sepatutnya untuk mengekang penularan wabak ini, termasuk menahan pendatang-pendatang asing tanpa izin di dalam depoh tahanan. Walaupun ini dilihat sebagai tidak berperikemanusiaan oleh segelintir orang, namun ia harus ditekankan bahawa SOP yang digunapakai adalah berlandaskan Akta Immigresen yang juga digunapakai negara-negara lain. Jadi, mengapa pula Malaysia disasarkan Al-Jazeera?

Tiada negara di dunia ini mengalu-alukan kemasukan pendatang asing tanpa dokumen-dokumen yang betul, dan saya mencabar wartawan Al-Jazeera tersebut untuk menjawab jika negaranya sanggup membuka pintu kepada PATI? Jika ya, mereka disaran mengambil masuk golongan pelarian Rohingya yang membelenggu rantau Asia Tenggara. Jangan kita juga lupa bahawa kos kuarantin, makanan dan perubatan untuk PATI ditanggung rakyat Malaysia. Dahlah mereka masuk secara haram, sekarang duduk makan pun percuma.

Bukankah tanggungjawab seorang wartawan adalah untuk melaporkan berita secara adil? Jadi, mengapa pula Al-Jazeera memberi gambaran seolah-olah kawat berduri yang dipasang anggota tentera dan polis hanya bertujuan untuk mengawal PATI sahaja? Mereka gagal menjelaskan bahawa ramai juga rakyat tempatan yang terperangkap di dalam PKPD.

Tambahan pula, kad media tidak patut disalahgunakan sebagai pas bebas untuk membuat sesuka hati. Dalam laporan videonya, wartawan tersebut dilihat cuba melanggar PKPD dan mengeluarkan kad medianya apabila dipersoalkan anggota polis yang bertugas. Atau adakah ini berniat menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang menindas kebebasan media?

Pada masa semua rakyat Malaysia, malah semua warga dunia meluahkan penghargaan terhadap pengorbanan dan usaha frontliners, Al-Jazeera pula seolah-olah memperlekehkan kerja-kerja frontliners dengan laporan video mereka.

Kejayaan Malaysia boleh dilihat dari penurunan jumlah kes, menjadikan Malaysia antara yang paling berjaya di dalam rantau Asia Tenggara. Ini adalah bukti bahawa Malaysia telah mengambil langkah yang betul. Kita sekarang berada pada landasan yang betul ke arah pemulihan, dan laporan berat sebelah oleh Al-Jazeera ini tidak akan membantu sesiapa pun.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker