Terpaksa demi kelangsungan hidup

“SIAPA yang tidak sayangkan koleksi berharga itu namun terpaksa dilakukan demi meneruskan kehidupan apabila tidak mempunyai pendapatan tetap selama tiga tahun,” kata bekas penyerang Harimau Malaya, Khalid Jamlus.

Khalid ketika dihubungi Arena Metro berkata, tindakan terbabit dilakukan selepas memikirkan dan berbincang dengan beberapa individu lain sebelum mengambil keputusan menjual segala koleksi peribadi yang boleh dikatakan antara barangan paling disayangi.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga tahun tanpa sebarang pekerjaan sememangnya situasi yang cukup sukar ditambah lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, sekali gus memeritkan lagi kehidupan tanpa sebarang pendapatan tetap.

“Apa yang saya buat untuk teruskan kehidupan, jadi perlu jual koleksi peribadi itu dan tidak perlu cerita puncanya namun siapa yang melalui situasi berkenaan akan faham situasi berkenaan.

“Cukup berat atau susah untuk menjual koleksi berkenaan namun itu adalah ‘harga’ yang perlu dibayar untuk teruskan kehidupan. Walaupun cukup sukar namun berfikiran positif kerana apa yang dimiliki itu tidak akan kekal,” katanya.

Sebelum itu, tindakan Khalid menjual jersi dan medal kemenangan termasuk trofi kasut emas yang dimenanginya pada 2002 cukup mengejutkan ramai pihak, sekali gus membongkar kehidupan sukar pemain berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak tiga tahun lalu.

Mengikut rekod, kali terakhir beliau memimpin pasukan dalam saingan Liga Malaysia adalah sebagai penolong jurulatih PDRM FA tiga tahun lalu dengan memiliki lesen kelas B.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker