Suami isteri sedia makanan percuma menerusi ‘Rumah Makan Percuma’

ALOR SETAR, Prihatin dengan nasib segelintir masyarakat yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19, seorang usahawan berjaya dan isterinya mengambil inisiatif membuka ‘Rumah Makan Percuma’, di sini, untuk menyediakan makanan secara percuma kepada golongan yang memerlukan.

Jaffri Ahmad, 56, berkata, beliau dan isteri Mazlina Makaruddin, 53, memperuntukkan makanan untuk sekurang-kurangnya 200 orang sehari, dan bercadang menambahnya, sekiranya inisiatif itu mendapat sambutan.

“Idea untuk melaksanakan inisiatif ini sudah lama, sebab setiap kali kami pergi menunaikan Umrah, kami dapati masyarakat di sana (Makkah) berlumba-lumba untuk memberi makanan percuma, kepada orang lain.

“Tapi sebelum ini, hasrat ini tergendala kerana kami sibuk dengan urusan lain, tetapi apabila COVID-19 melanda negara, ramai yang susah dan saya rasa ini adalah masa yang paling sesuai, untuk laksanakannya,” katanya selepas majlis pembukaan Rumah Makan Percuma itu di Kampung Tanah Seratus, Simpang Empat, di sini, hari ini.



Jaffri yang juga pengerusi sebuah syarikat pengeluar produk berasaskan ayam berkata, dua orang tukang masak akan menyediakan makanan setiap hari dengan bahan utamanya adalah beras, ayam dan sayur-sayuran.

Sementara itu Mazlina berkata, rumah makan percuma itu yang beroperasi di premis rumah kedai, di sini dibuka dari Isnin hingga Sabtu bermula 12 tengah hari hingga 2 petang dan usaha itu akan diteruskan selagi ada permintaan.

“Saya bersama suami telah mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM30,000 dan kami akan lihat dahulu sambutannya macam mana, kalau bagus mungkin selepas ini kita akan tambah sedikit demi sedikit jumlah orang datang makan di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlina turut mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin menyumbang dalam inisiatif itu dan berharap ia akan dapat membantu terutama golongan yang kurang berkemampuan.



— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker