Isu Calon PM, UMNO Jangan Terheret Bahas – Presiden

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan partinya agar tidak terheret dalam perbahasan mengenai calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ia setelah beberapa pemimpin dan veteran Umno menyuarakan rasa tidak senang dengan pendirian yang disuarakan ahli majlis tertinggi Umno yang juga Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Annuar Musa bahawa Umno dan PAS bersetuju untuk terus menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ketika menghadapi PRU15.

“Umno tidak seharusnya terheret sama dalam polemik perbahasan mengenai calon perdana menteri, malah tumpuan harus diberikan kepada usaha untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Kata Zahid, Umno kini memberi keutamaan kepada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 13 Julai nanti.

“Umno sedar terdapat usaha giat dilakukan untuk menggugat kedudukan perdana menteri oleh pihak-pihak yang mahu merebut jawatan berkenaan.

“Arahan telah dikeluarkan kepada ahli-ahli parlimen Umno dan BN untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Muhyiddin daripada terus diganggu-gugat oleh pihak pembangkang,” katanya.

“Semua menteri dan timbalan menteri BN telah diminta mengambil tindakan menerusi kementerian masing-masing dalam usaha memulihkan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan terutamanya golongan yang tekesan oleh Covid-19,” katanya lagi.

Susulan kenyataan Annuar, beberapa pemimpin Umno menyuarakan reaksi kurang senang termasuk pemimpin veterannya, Shahrir Samad yang berpandangan masih banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum menetapkan perkara itu.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin pula berkata parti itu tidak harus terburu-buru mengehadkan pendiriannya walaupun ketika ini Muhyiddin yang dinamakan sebagai calon.

Kerajaan PH yang menjadi kerajaan selepas PRU 2018 tumbang selepas Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada PH bagi membentuk PN.

Mahathir selaku pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, telah memberi amaran bahawa Bersatu akan berdepan masalah pada PRU15 memandangkan akan wujud pertindihan kawasan pilihan raya dengan Umno dan PAS.

Sesetengah pemimpin Umno mahu perdana menteri datang dari parti itu sendiri, dan percaya ia perlu menjadi parti paling dominan dalam kerajaan sekiranya menang dalam PRU akan datang.

Usaha dikatakan sedang dijalankan bagi merasmikan kerjasama PN sebagai satu gabungan, serta untuk berbincang mengenai agihan kerusi antara parti komponen dalam PRU akan datang.

MK

Artikel Berkaitan: Selesai bagaimana BN, MN & PN mahu tanding PRU15, bukan calon PM – Tok Uban

Artikel Berkaitan: Perikatan Nasional & Calon PM, Kita Perlu Balik Kepada ASAS

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker