Disangka ‘benda’ syirik rupanya…

TAMPOI – Satu bungkusan yang ditemui di tepi semak kelmarin mengejutkan pelajar sebuah universiti kerana menyangka seorang bayi yang dibalut dengan kain.

Abdul Rahman Mohd Jamadi, 23 berkata, lebih menakutkan apabila ia diikat dengan kain kuning seolah-olah patung saka.

Pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Kekanikal di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu bagaimanapun lega apabila bungkusan misteri berhampiran rumah neneknya, Ramlah Abdullah, 80, Tampoi, Johor Bahru, terungkai semalam sebaik abang iparnya membongkar isi dalam bungkusan hanyalah sebiji cempedak.

“Perasaan takut bertukar lucu dan lega kerana bungkusan kain itu bukan sesuatu yang dikaitkan dengan perbuatan syirik atau perkara tidak baik,” katanya.



Anak keempat dari enam beradik itu berkata, neneknya gemar membungkus buah-buahan menggunakan cebisan kain dan kain warna kuning adalah dari jersi.

“Nenek memang suka balut macam ni, dekat pokok pun dia balut sekali guna kain. Kadang kala boleh menimbulkan salah faham kepada mereka yang melihatnya terutama pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian tersebut juga menarik perhatian netizen yang membuat andaian bungkusan itu dikaitkan dengan perbuatan syirik berikutan diikat dengan kain kuning.

Kata Abdul Rahman, dia memuat naik ciapan berkaitan penemuan bungkusan itu sekadar mahu menghiburkan rakan-rakan dan tidak sangka ia tular.



Sebelum ini, Abdul Rahman berkongsi kisah penemuan bungkusan itu hingga menimbulkan perasan ingin tahu netizen selain memberitahu bungkusan itu mengeluarkan bau.

“Memang tak sangka ciapan itu popular. Saya sekadar bergurau tulis ‘Nak buka ke tidak, 10 ulang kongsi aku buka’ tapi tiba-tiba naik sehingga 30,000 ulang kongsi,” katanya.

Enggan mengambil endah tanggapan netizen, Abdul Rahman percaya ramai terhibur dengan perkongsian itu.

“Memang ada yang kecaman tetapi kebanyakan mereka berasa tertipu tidak kurang juga terhibur.



“Bagi yang kecam tu, saya tidak salahkan mereka, saya faham mungkin mereka ada pengalaman sebab benda ni pun agak sensitif bagi sesetengah pihak namun niat saya cuma nak menghiburkan kawan-kawan,” ujarnya.



SH

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker