12 pemimpin PN sokong Muhyiddin

SHAH ALAM – Seramai 12 pemimpin Perikatan Nasional (PN) dikenal pasti menyokong pencalonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkembangan terkini itu sekali gus mengetepikan dakwaan pencalonan Muhyiddin tidak mendapat restu majoriti pemimpin PN terutama UMNO susulan beberapa siri kritikan dilontarkan sebilangan pemimpin parti itu sejak kebelakangan ini.

Terbaru, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin secara peribadi turut memberi sokongan terhadap pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri PN selepas PRU15.

Menurutnya, langkah meletakkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi PN amat penting untuk mengelakkan berlaku sebarang perpecahan dalam kalangan parti gabungan itu.

“Saya minta permasalahan (tidak bersetuju pencalonan Muhyiddin) ini tidak perlu dipanjangkan kerana kita tidak mahu ada perpecahan.

“Ada banyak agenda perlu dibincangkan di peringkat PN seperti isu pembahagian kerusi pilihan raya antara parti dan sebagainya.

“Saya (secara) peribadi bersetuju Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan saya minta semua hentikan sebarang perkara yang boleh memberi kesan kepada peluang kemenangan PN pada PRU15,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Selain Zahidi yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Perlis, beberapa pemimpin PN lain yang menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin termasuklah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Abdul Hadi

Turut menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin ialah Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii; Ahli Majlis Tertinggi GPS, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong turut menyatakan pendirian sama.

Senarai terkini pemimpin PN menyokong Muhyiddin secara terbuka itu melibatkan empat pemimpin daripada UMNO.Terdahulu, media tempatan melaporkan UMNO dan Pas secara prinsip melalui Muafakat Nasional bersetuju untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

Annuar Musa

Mengesahkan perkara tersebut, Annuar yang juga Setiausaha Agung BN menegaskan keputusan berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat bersama UMNO dan Pas baru-baru ini.

Kenyataan yang dikeluarkan Annuar itu susulan pengumuman Abdul Hadi yang menyatakan pendirian Pas untuk menyokong pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker