SPRM dan ‘kekebalan’ Lim Guan Eng

Oleh Ab Jalil Backer

SPRM dan Lim Guan Eng

KEKEBALAN bekas Menteri Kewangan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sejak sedekad lalu mungkin akan berakhir jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) benar-benar bertekad untuk menyelesaikan misteri projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki percaya pasukannya akan melengkapkan kertas siasatan dalam bulan Julai ini untuk penilaian dan pertimbangan pejabat Peguam Negara.



SPRM juga telah menahan reman Jeffrey Chew Gim Eam yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang semasa Guan Eng mentadbir negeri itu.

Projek terowong dasar laut itu akan menghubungkan Persiaran Gurney di bahagian pulau ke Bagan Ajam di tanah besar. Ia dirancang dibina bersama tiga lebuh raya utama yang terdiri daripada 10.5 kilometer (km) jalan pesisir utara dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, berserta 5.7km Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Air Itam dan 4.1km jalan berpasang Persiaran Gurney-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Keseluruhannya, empat projek itu dianggarkan bernilai RM6.4 bilion.

Projek itu sangat kontroversi sejak lima tahun lepas kerana pelbagai misteri membabitkan kos pembinaan, swap land dan bayaran konsultansi yang telah menjadi bahan pertikaian.

Dalam kalangan rakyat pula ada yang mempertikaikan keperluan pembinaan terowong itu yang bakal menjejaskan ekosistem dasar laut dan alam sekitar.



Keperluan terowong tersebut berdasarkan jumlah trafik dan kos juga menjadi menjadi persoalan kerana ada alternatif lebih murah dan mesra alam seperti sistem pengangkutan monorel dan penambahbaikan sistem feri.

Pada tahun 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) ketika itu, Datuk Abdul Rahman Dahlan telah membangkitkan isu kos kajian kebolehlaksanaan projek yang telah mencecah sehingga RM305 juta.

Agenda

Beliau turut membangkitkan mengapa syarikat Consortium Zenith BUCG (CZBUCG) yang bakal melaksanakan projek tersebut juga merupakan syarikat yang menjalankan kajian kebolehlaksanaan.



Menurut Abdul Rahman, isu itu merupakan percanggahan kepentingan kerana CZBUCG juga adalah syarikat yang akan melaksanakan projek tersebut jika didapati bersesuaian.

Walaupun SPRM tidak menyebut siapa individu tumpuan dalam siasatan itu, namun hampir semua mata tertumpu kepada Guan Eng.

Sudah tentu DAP akan mengatakan itu semua agenda politik pihak kerajaan untuk menganiayai Guan Eng dan parti mereka.

Namun kita perlu ingat inilah kali pertama, sejak beberapa tahun lalu, Pesuruhjaya SPRM merupakan lantikan dalaman berdasarkan kenaikan pangkat merit.



Azam Baki telah beberapa kali diketepikan sama ada oleh Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan (PH).

Ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dibawa dari pejabat Peguam Negara, manakala ketika PH pula dua lantikan politik mewarnai jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Lantikan pertama Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, walaupun mempunyai pengalaman tinggi dalam SPRM sebelum bersara, merupakan individu yang telah mempunyai persepsi bias ke atas pemimpin UMNO terutamanya Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengganti Shukri yang juga dilakukan oleh pentadbiran PH ialah Latheefa Koya – seorang yang diketahui sangat cenderung kepada PH dan merupakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Dengan kata lain, Azam Baki naik melalui merit pentadbiran dan tidak terhutang budi kepada sesiapa dalam politik untuk berada di tempatnya.

Malah pada tahun 2019, SPRM membuat kenyataan media menyatakan: “Sebanyak lima kertas siasatan telah selesai dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Tiga kertas siasatan telah dikembalikan kepada suruhanjaya ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya.”

Kesimpulannya kes ini bukan diada-adakan untuk tujuan politik tetapi telah lama disiasat. Jika dulu Guan Eng tampak agak kebal seperti keputusan Peguam Negara menggugurkan kes banglonya di mahkamah, kini naratif telah berubah di bawah kepimpinan baharu. Semoga misteri skandal terowong ini terungkai segera.

Sinar.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker