Covid-19 : 5 kes baru hari ini.

Share

PUTRAJAYA: Lima kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 4 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 121 orang susulan tiada kematian baru dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, 2 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,663 kes Covid-19 dengan 8,465 daripadanya disahkan sembuh.

Ketika ini, 77 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Noor Hisham berkata, daripada 5 kes baru yang dilaporkan, 3 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Ingin dimaklumkan daripada 5 kes baru yang dilaporkan, 3 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 2 warganegara Malaysia dan 1 bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

Dua kes penularan dalam negara merupakan warganegara Malaysia, iaitu kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan di sebuah pusat perubatan di Seremban, Negeri Sembilan.

“Tiada penularan dalam negara melibatkan bukan warganegara dilaporkan hari ini,” katanya

Jumlah jangkitan baru berkurangan hari ini berbanding 10 kes semalam.

Dua kluster kawasan kediaman tamat

Dalam perkembangan lain Noor Hisham turut memaklumkan bahawa 2 kluster Covid-19 tamat hari ini melibatkan kluster Gombak dan kluster pangsapuri Cheras.

“Kedua-dua kluster ini merupakan kluster berkaitan tempat kediaman di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kluster Gombak dilaporkan pada 18 Mei 2020 hasil aktiviti pengesanan secara aktif susulan kes positif di sebuah kuarters kediaman di Gombak.

“Sehingga 4 Julai, seramai 200 orang disaring dan didapati 5 kes yang positif. Kluster ini melibatkan warganegara Malaysia.

“Kluster pangsapuri Cheras dilaporkan pada 1 Jun 2020 hasil aktiviti pengesanan aktif kes positif di sebuah pangsapuri di Cheras.

“Sehingga 4 Julai, seramai 144 orang disaring dan didapati 8 kes positif.

“Kluster ini melibatkan 1 kes positif warga Indonesia, iaitu daripada 3 bukan warganegara yang disaring dan selebihnya adalah warganegara Malaysia,” katanya.

Noor Hisham turut memaklumkan kes pertama kedua-dua kluster ini dikesan hasil saringan pelajar pusat tahfiz yang merupakan salah sebuah kumpulan sasar yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Sukacita dimaklumkan, daripada siasatan yang dijalankan, didapati tiada kes positif lain daripada kedua-dua pusat tahfiz yang terlibat.

“KKM ingin mengucapkan syabas kepada semua pihak yang memberikan perkhidmatan masing-masing dalam semua aktiviti pengesanan kes dan langkah pembendungan penularan jangkitan berkaitan kluster ini,” katanya.

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!