250 ahli PKR Ampang keluar parti, cabang bubar serta-merta

Seramai 250 orang ahli PKR Cabang Ampang mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini kerana hilang kepercayaan terhadap parti itu.

Naib Ketua Cabang PKR Ampang, D Nallan, berkata keputusan itu turut menyebabkan cabang PKR Ampang terbubar serta-merta setelah dua pertiga ahli jawatankuasa yang dipilih keluar parti.

“Apa yang berlaku pada akhir-akhir ini, menyebabkan kami, seramai 250 orang ahli PKR keluar parti.

“[..] terdiri daripada jawatankuasa cabang Ampang termasuk pemimpin-pemimpin pelapis di peringkat sayap Wanita PKR dan pimpinan AMK dari 38 cabang Ampang mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dan keluar dari PKR berkuatkuasa serta-merta,” katanya dalam satu sidang media di Ampang hari ini.

Kata Nallan, pembubaran sesebuah cabang selepas dua pertiga ahli keluar parti ada disebutkan dalam perlembagaan parti.

“Dalam perlembagaan (parti) ada fasal yang (menyebut) boleh bubar parti jika dua pertiga keluar.

“Kita ada dua pertiga ahli jawatankuasa yang dipilih dari AMK, Ketua Wanita dan Cabang,” tambahnya.

Katanya, ahli yang keluar parti itu terdiri daripada 13 ahli jawatankuasa cabang kawasan itu, 12 dari Pemuda PKR (AMK) dan sembilan jawatankuasa wanita cabang.

Kedudukan PKR Ampang tergugat setelah bekas ketuanya Zuraida Kamaruddin memihak untuk bersekutu dengan bekas timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali.

Kedua-dua mereka merupakan antara wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan persekutuan yang ketika itu diterajui Pakatan Harapan (PH) diambil oleh oleh Perikatan Nasional.

Tindakan itu kemudian menyaksikan kedua-dua bekas ahli pimpinan tinggi parti itu dipecat oleh PKR 24 Februari lalu.

Sementara itu, Nallan juga menambah, ahli yang keluar juga bertindak demikian selepas tidak lagi yakin dengan kepimpinan ditunjukkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan juga kepimpinan parti.

Menurutnya, kepimpinan PKR hanya mementingkan kepentingan individu semata- mata serta gagal melaksanakan amanah diberikan ahli.

Nallan juga memaklumkan bahawa mereka kini menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Mkini

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker