Mahkamah Rayuan tolak permohonan SPRM tahan duit UMNO.

Share

SPRM sekali lagi tak berjaya tahan RM192 juta wang Umno

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan RM192 juta wang Umno yang dibekukan oleh badan anti-rasuah itu dalam siasatan ke atas 1MDB.

Mahkamah juga menolak permohonan SPRM untuk menahan RM2 juta wang Wanita MCA, Binsabi Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd.

Barisan 3 hakim yang dipengerusikan Yaacob Md Sam berkata SPRM tidak menunjukkan keadaan khas yang mewajarkan perintah beku diteruskan.

“Kebimbangan bahawa responden akan melesapkan wang itu sekiranya ia dipulangkan tidak cukup untuk membenarkan penahanan itu dan menyebabkan rayuannya sia-sia sekiranya ia menang kes,” katanya.

Yaacob, bersama Hadhariah Syed Ismail dan Nordin Hassan, juga berkata SPRM tidak memfailkan afidavit untuk mematahkan hujah responden bahawa mereka boleh memulangkan wang itu sekiranya Mahkamah Rayuan terbalikkan dapatan Mahkamah Tinggi.

Rayuan ditetapkan pada 25 Ogos.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Roslan Mat Nor berkata permohonan sementara menunggu rayuan itu harus dibenarkan atas alasan kepentingan awam kerana wang 1MDB sebenarnya wang rakyat.

“Tidak ada jaminan mereka berempat akan memulangkannya sekiranya rayuan kami berjaya,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Umno, Hariharan Tara Singh berkata kebimbangan SPRM itu tidak berasa kerana Umno masih mampu bayar.

“Umno pemilik bangunan PWTC yang bernilai RM450 juta,” katanya. “Kami ada aset mengatasi liabiliti.”

Peguam untuk 3 responden lain itu juga berpendirian sama.

Pada 19 Jun, responden berjaya mendapatkan kembali RM194 juta yang dirampas selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan.

SPRM membekukan akaun bank mereka untuk melucutkan hak ke atas wang yang diterima daripada bekas perdana menteri, Najib Razak, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sebelum ini menolak permohonan pendakwa raya untuk menggantung perintah memulangkan wang itu.

Pada Februari, Zaini menolak permohonan pendakwa raya untuk menyita wang itu selepas memutuskan wang itu bukan hasil haram daripada 1MDB.

Permohonan itu mahu melucutkan hak Umno ke atas RM192,965,413.61 manakala terhadap Wanita MCA, RM300,000.

Permohonan terhadap Perano Sdn Bhd, yang menjual hijab, dan Binsabi Sdn Bhd, yang menjual khemah, masing-masing RM337,634.78 dan RM827,250.

Mereka juga didakwa terima wang daripada Najib.

Kerajaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap 4 entiti itu bawah Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

Hariharan kemudian beritahu pemberita bahawa beliau berharap Bank CIMB akan menarik balik pembekuan ke atas akaun Umno susulan perintah mahkamah hari ini.

“Saya berharap peguam bank itu yang berada di mahkamah hari ini akan menasihati mereka berbuat demikian,” katanya, dan menambah wang itu dibekukan sejak 28 Mei tahun lepas.

FMT

Leave a Reply