Ku Li percaya Umno akan tinggalkan Bersatu pada PRU15

Share

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, percaya partinya akan meninggalkan Bersatu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi membolehkan parti mereka menang dalam kedudukan yang dominan.

Bercakap kepada Channel News Asia, Tengku Razaleigh berkata, sekiranya Umno tidak menang dalam kedudukan dominan dalam PRU akan datang, akan berlaku satu lagi siri ketidakstabilan politik.

“Bersatu tak sepatutnya ada pun (dalam kemungkinan itu). Mereka (ahli parti Umno) berasa bahawa ia (kerjasama) harus berlaku hanya dalam kalangan Muafakat (Nasional) – PAS, Umno dengan rakan-rakan tradisi BN, (iaitu) MCA dan MIC.

“Begitu, barulah anda tidak akan ada masalah agihan kerusi. “Tapi kalau kamu bawa Bersatu, kami mungkin akan berdepan (keputusan) pilihan raya yang menyebabkan kita berada dalam situasi ‘tergantung’ sekali lagi – tiada yang ada kedudukan dominan, tiada yang mempunyai majoriti jelas.

“Kemudian, kita akan menghadapi situasi yang sangat tidak stabil,” kata Tengku Razaleigh, 83, yang kini dalam penggal kelapan berkhidmat sebagai ahli parlimen Gua Musang.

Ketika ditanya apakah dia percaya Umno akan terus menyokong Muyiddin Yassin sebagai perdana menteri dalam PRU akan datang, jawab Tengku Razaleigh, dia tidak rasa hal itu akan berlaku.

“Saya tak rasa begitu. Susunan di dalam Perikatan Nasional (seperti sekarang), hanyalah semata-mata demi memastikan kestabilan.

“Bila kita berdepan dengan PRU, itu satu situasi yang berbeza. Umno akan fikir dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.

Semalam, setiausaha bersama sekretariat Muafakat Nasional, Annuar Musa dilaporkan berkata bahawa Umno dan PAS bersetuju menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bagi PRU-15, setelah perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat baru-baru ini.

“Untuk pilihan raya akan datang, secara prinsipnya kedua-dua parti telah bersetuju untuk menamakan atau menyokong perdana menteri, Muhyiddin sebagai calon perdana menteri seterusnya,” Annuar dipetik sebagai berkata.

Sehari sebelum itu pula, mesyuarat pemimpin tertinggi Perikatan Nasional mengulangi sokongan mereka terhadap Muhyiddin, tetapi tidak disebutkan mengenai usaha memformalkan gabungan itu.

Leave a Reply