Kes Zahid: Cek RM1 juta dikeluarkan kepada pemegang amanah Yayasan Akalbudi

KUALA LUMPUR, 3 Julai  —  Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini  hari ini bahawa syarikat pembinaan mengeluarkan tiga cek berjumlah RM1,011,520  atas nama Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Paul Latimer, 78, pengarah Syarikat Cergas Murni Sdn Bhd, berkata sebahagian daripada jumlah itu bertujuan pembayaran wang perlindungan kepada samseng dan selebihnya bagi penyelesaian masalah operasi syarikat seperti bayaran kepada subkontraktor, pembekal dan lain-lain semasa projek pembinaan jambatan ketiga di Klang, Selangor, yang dijalankan pada 2014 hingga 2017.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, yang mewakili Ahmad Zahid, pada hari ke-24 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun Latimer menjawab ‘saya tidak ingat’ ketika Rozal Azimin mencadangkan syarikatnya juga mempunyai masalah jentera pada 2016.

Rosal Azimin: Kesemua cek ini tidak ada kena mengena dengan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid), sebab kamu tidak berurusan dengan dia?

Latimer: Betul

Rosal Azimin: Ketika syarikat dapat projek jambatan di Klang ini, bukan disebabkan Omar Ali (pengurup wang)?

Latimer: Betul

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffry Ong,  saksi pendakwaan ke-73 turut mengesahkan tiga cek itu atas nama Lewis & Co masing-masing berjumlah RM447,773.42, RM259,047.05 dan 304,699.54 bertarikh antara 29 Mac dan 6 April 2016 diserahkan kepada Omar Ali.

Seorang lagi saksi, Pengarah Urusan HRA Teguh Sdn Bhd, Datuk Hashim Osman, 69, berkata syarikatnya turut menerima sejumlah RM217,000 pada bulan Mac 2016 daripada Omar Ali.

Beliau berkata wang tersebut adalah bantuan kewangan dan menggambarkannya sebagai ‘pinjaman mesra’ kerana ketika itu syarikatnya mengalami masalah kewangan sewaktu menyelesaikan projek lebuh raya rakyat dari Machang ke Kuala Krai, Kelantan.

“Syarikat saya ada buat projek dan adakalanya dapat bayaran daripada pelanggan lambat…tetapi projek itu sudah berjalan dan bagi mengelakkan projek itu terhenti, kita perlukan juga wang dalam bentuk tunai,” kata saksi pendakwaan ke-72 itu.

Disoal lanjut oleh Harris Ong sekiranya beliau ada mengambil inisiatif untuk mengetahui sumber wang yang diperolehi Omar Ali, saksi itu berkata tiada.

“Pada saya, kita pinjam kita bayar kerana pada peringkat saya, tiada masa untuk selidik. Saya lebih mementingkan perjalanan syarikat dan memastikan projek tersebut dilaksanakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan bagi kes pengubahan wang haram ke-27, Ahmad Zahid didakwa mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 membabitkan 30 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 Julai ini.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker