Jumpa Guan Eng, kawan tetap kawan kata Anwar.

Share

Di tengah-tengah kebuntuan mengenai calon perdana menteri mewakili Pakatan Harapan (PH) Plus, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menemui Anwar Ibrahim di pejabat presiden PKR itu di Petaling Jaya.

Pertemuan tersebut dinyatakan Anwar melalui hantaran di media sosial beliau petang ini.

Menyertai hantaran tersebut ialah kapsyen dan tanda pagar #kawantetapkawan.

“Terus bersama perkukuh muafakat,” kata Anwar.

Hubungan DAP dan Anwar menunjukkan tanda-tanda ketegangan setelah parti itu bertindak cenderung untuk menerima cadangan agar Dr Mahathir Mohamad, 95, sekali lagi menyandang jawatan perdana menteri.

Mengikut perancangan berkenaan, Anwar akan dilantik bergandingan dengan Mahathir menjadi timbalan perdana menteri dan akan menggantikan ahli parlimen Langkawi itu selepas enam bulan.

DAP dan Amanah berpendapat Mahathir mempunyai sokongan yang lebih kukuh daripada ahli parlimen blok Sabah dan Sarawak untuk merampas kembali Putrajaya selepas PH ditumbangkan melalui Langkah Sheraton baru-baru ini.

Bagaimanapun, PKR masih berkeras mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri.

Bermesyuarat minggu depan

Kebuntuan pemilihan tersebut semakin keruh setelah Mahathir mencadangkan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dikemukakan sebagai calon perdana menteri manakala Anwar dan Mukhriz Mahathir menjadi timbalannya.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber PKR yang mendakwa bahawa parti itu turut menolak cadangan tersebut dan masih mahukan Anwar sebagai calon perdana menteri dan Mukhriz sebagai timbalan.

“Kami mahukan pilihan pertama (Anwar-Mukhriz). Kami tolak pilihan kedua (Mahathir-Anwar).

“Kami tidak pernah membicangkan hal itu dan tidak bercadang untuk membincangkannya,” kata sumber terbabit.

Sumber lain pula mendedahkan PH akan mengadakan mesyuarat majlis presiden minggu depan bagi membincangkan cadangan menaikkan Mohd Shafie.

DAP telah menggesa majlis presiden itu supaya berjumpa sebelum persidangan Dewan Rakyat, yang dijadual pada 13 Julai.

“Kami sedang mendapatkan tarikh untuk mesyuarat majlis presiden dalam minggu depan,” sumber dekat dengan sekretariat PH memberitahu Malaysiakini.

Gambar fail
Persidangan Parlimen sesi akan datang dijangka panas dengan PAS membawa usul undi percaya buat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin – suatu langkah yang dianggap sesetengah pihak akhirnya berpotensi merugikan presiden Bersatu itu.

Ia terjadi di tengah-tengah spekulasi bahawa pembangkang akan berusaha untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap kerajaan PN, yang memiliki majoriti tipis – tiga kerusi – di Dewan Rakyat.

Selain itu, Muhyiddin turut mengemukakan usul bagi menggantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming.

Ketua whip Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fadillah Yusof dipetik Bernama sebagai berkata calon baru untuk jawatan speaker sudah dikenal pasti namun beliau enggan mendedahkan sebarang nama.

Antara nama yang disebut-sebut menggantikan bekas hakim kanan Mahkamah Rayuan itu ialah Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said.

Untuk rekod, ungkapan “kawan tetap kawan” biasanya mengingatkan aktivis dan pemerhati politik kepada Reformasi yang diketuai Anwar.

Gerakan itu mempopularkan slogan “lawan tetap lawan”.

Mkini

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!