BNM: Moratorium pinjaman mungkin tidak dilanjut

Bank Negara Malaysia (BNM) membayangkan untuk tidak melanjutkan tempoh moratorium 6 bulan ke atas pinjaman yang akan tamat pada 30 September ini.

Ketika menjadi moderator sesi webinar bertajuk “R&R: Rancang dan bertindak awal” anjuran bank pusat itu hari ini, penolong gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, sehingga 19 Jun lalu, moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM47.5 bilion sejak ia berkuat kuasa pada 1 April lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.6 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah dimanfaatkan rakyat bernilai RM30.9 bilion melalui pinjaman yang layak mendapat moratorium daripada institusi kewangan.

“Pemulihan ekonomi akan berterusan dan kita tiada niat untuk lanjutkan tempoh moratorium kerana jika diteruskan akan ada kesan yang ingin kita elakkan.

“Perbankan adalah sektor utama yang membiayai pelbagai kegiatan ekonomi, jadi kita berada di persimpangan kerana ada sebahagian daripada peminjam masih berdepan cabaran,” katanya.

Perbincangan selama 1 jam yang dipancarkan secara strim turut dihadiri ketua pegawai eksekutif Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir; wakil Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), Mohd Zaini Aris dan presiden Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati), Azlin Ahmad Shaharbi.

Sementara itu, Azaddin berkata, moratorium ternyata memberi kelegaan kepada peminjam, tetapi kelegaan sebenar ialah apabila peminjam mampu melangsaikan hutang mengikut jadual sebenar.

Katanya, peminjam yang berdepan kesukaran membayar balik pinjaman selepas tamat tempoh moratorium dinasihatkan berjumpa bank masing-masing untuk membincangkan penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman (R&R).

“Jangan biarkan hutang tertangguh dan ini akan memberi tekanan kewangan sekali gus memberi kesan lebuh teruk kepada peminjam.

“Namun, jika peminjam ada pinjaman dengan banyak bank, mereka boleh datang ke AKPK untuk khidmat nasihat bagi menstruktur semula pinjaman mengikut kemampuan peminjam.

“Kami akan cuba berunding dengan bank untuk mendapatkan penyelesaian terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Zaini mengingatkan peminjam yang bermasalah meneruskan bayaran balik pinjaman supaya tidak melantik pihak ketiga untuk menguruskan R&R mereka.

“Ini bagi mengelakkan peminjam terjebak dalam skim penipuan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker