UMNO Diperkasa, BN Diperkukuh, MN Dipadu Demi Gabungan Besar PN – Ahmad Zahid

Share

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Parikatan Nasinoal (PN) adalah satu gabungan besar yang didokong oleh Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN) termasuk gabungan parti di Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, PN juga adalah sokongan semua Ahli Parlimen maka semua pihak harus berfikiran terbuka berkaitan kerjasama ini dengan usaha terus dilaksana bagi UMNO tetap diperkasa, BN tetap dikerkukuh dan MN tetap dipadu.

“BN adalah parti gabungan di mana UMNO di dalamnya bersama dengan MCA dan MIC juga PBRS. Kita harus tahu MN belum didaftarkan. Saya mahu tekankan, dengan piagam yang telah ditandatangani oleh UMNO dan PAS maka wujudlah kerjasama dalam MN dan ini adalah penyertaan pada kerjasama yang dibuat parti politik. Jadi, apa hubungan MN dengan PN?

“Keputusan Majlis Tertinggi UMNO, sokongan UMNO dan BN kepada PN adalah sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan yang ada sekarang ini. Keputusan Majlis Tertinggi juga berdasarkan cadangan dari Biro Politik UMNO bahawa kita tidak akan menyertai PN secara terus (UMNO tidak akan jadi parti komponen PN) maka dokongan kita berdasarkan sokongan Ahli Parlimen dan pada waktu yang sama MN termasuk Ahli Parlimen PAS juga menyokong PN….

“UMNO tetap diperkasakan, BN tetap dikerkukuhkan dan MN tetap dipadukan namun sokongan kita bukan dokongan secara terus, tetapi pada pandangan saya, PN harus menjadi sebuah gabungan besar yang menggabungkan gabungan parti sedia ada,” ujar beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian pada program ‘Kabo Chini’ yang disiarkan secara ‘Live’ menerusi Facebook UMNO Online yang dihoskan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid malam tadi.

Untuk itu jelas Ahmad Zahid, semua pihak harus terbuka luas menerima bentuk kerjasama ini kerana inilah yang dihasratkan oleh semua kepimpinan yang ada.

Ketika ditanya berkaitan kesibukan yang dapat dilihat oleh mereka yang mengunjungi Menara Dato’ Onn sejak kebelakangan ini, jelas Ahmad Zahid, kesibukan ini adalah satu indikasi bahawa UMNO sedang bangkit dan semangatnya telah mula pulih.

Jelas beliau, ini juga menolak apa yang tergambar di luar seolah-olah UMNO telah berpecah, UMNO tidak ada masa depan.

“Dengan adanya jadual yang semakin sibuk dan WTC iaitu nama baru untuk PWTC yang dilihat semakin sibuk dibanjiri bukan hanya oleh orang politik tetapi pihak lain juga, ini memperlihatkan bukan hanya kesiapsiagaan telah dihidangkan tetapi memperincikan soal kesiapsiagaan bilapun tarikh pilihan raya diumumkan.

“Jentera bukan sahaja telah diatur tetapi kita telah memperincikan beberapa aspek untuk pilihan raya jika kepimpinan mengumumkan tarikh dalam waktu terdekat atau pertengahan atau cukup penggal,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Zahid, bagi menambah persediaan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), ‘engagement’ di semua peringkat harus dilakukan dan diperkasakan.

“’Engagement’ harus diperkasakan kerana sistem penyampaian maklumat harus digunakan sepenuhnya sama ada melalui verbal atau tidak. Dalam keadaan itu, saya bertemu bukan hanya di peringkat Muafakat Nasional (MN) tetapi di peringkat nasional dan waktu yang sama ‘engagement’ ini saya lakukan diperingkat negeri dan telah memulakan pertemuan di peringkat bahagian, lapisan kedua, ketiga dan sayap.

“Ini kerana maklumat harus sampai dan disebarkan di akar umbi yang menjadi asas kepada kuasa politik yang selama ini kita dambakan,” tegas beliau.

Ahmad Zahid turut menjelaskan isu berkaitan pembahagian kerusi yang sering ditanya kepada beliau.

“Pembahagian kerusi di kalangan parti komponen BN, kemudian MN kemudian dalam PN… bagaimana nak bahagi?

“Untuk hal itu saya fikir terdapat tiga tahap. Pertama, harus ada jawatankuasa perundingan yang mencari jalan penyelesaian. Asas itu harus difikirkan. Selepas itu akan dibawa keputusan dari jawatankuasa perundingan untuk diperbincangkan dalam sekreatariat parti gabungan… saya hampir pasti tahap jawatankuasa perundingan dan tahap sekreatariat ini akan mengalami ‘patah riuk’.

“Akhirnya keputusan itu akan dibawa dan dipersetujukan pula dalam majlis presiden untuk dimuktamadkan. Saya fikir, ini adalah satu proses keputusan berjemaah tapi kita tidak perlu fikir sangat,” ulas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!