Pas sambut baik SPRM teruskan siasatan kes terowong Pulau Pinang

Share

SHAH ALAM – Pas menyambut baik langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan berkaitan kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, langkah SPRM meneruskan siasatan itu juga memenuhi hasrat rakyat untuk mengetahui kisah sebenar di sebalik kes kontroversi itu.

“Namun, dalam perkembangan terbaharu mengenai kes tersebut, Pas tetap berpegang pada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga diri mereka dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN:

“Adalah tidak wajar untuk kita atau pihak media menjatuhkan hukuman kepada pihak yang disiasat kerana mereka belum lagi dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sehubungan itu, Muhammad Khalil berkata, Pas menggesa agar SPRM dalam meneruskan siasatan berprofil tinggi tersebut secara profesional agar rakyat mendapat keyakinan kerana projek itu membabitkan wang rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semalam berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan terbaharu SPRM itu.

Pihaknya juga sudah menerima surat daripada SPRM bagi mengambil keterangan beberapa pemimpin termasuk bekas anggota Exco Kerajaan Negeri yang terlibat semasa proses tender projek berkenaan dijalankan sebelum ini.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri tidak tahu-menahu mengenai butiran siasatan yang dilakukan, sebaliknya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan tugas.

Leave a Reply