Airbnb saksi lonjakan perjalanan domestik di Malaysia

Airbnb, penyedia perkhidmatan penginapan dalam talian global, menyaksikan peningkatan ketara dalam tempahan domestik di Malaysia, melonjak hampir 190 peratus bulan ke bulan.

Dalam satu kenyataan, ia berkata dalam tempoh 30 hari lepas, 93 peratus daripada jumlah tempahan yang dibuat di Airbnb ialah untuk destinasi domestik.

“Ini selaras dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pergerakan rentas negeri, sekali gus telah menyaksikan perhatian bertukar ke arah pelancongan domestik sebagai pemacu utama bagi pemulihan dalam sektor ini.

“Walaupun industri pelancongan telah terjejas oleh COVID-19, data dalaman Airbnb menunjukkan tanda-tanda positif bahawa pelancongan telah bangkit semula, didahului trend yang akan mencorakkan hala tuju pelancongan dalam beberapa minggu dan bulan akan datang,” katanya.



Berdasarkan data tempahan terkini, destinasi domestik paling popular sepanjang 30 hari lepas di Malaysia, termasuklah Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Destinasi bukan bandar turut dikunjungi seperti seperti Cameron Highlands, Kuala Terengganu, Port Dickson dan banyak lagi dengan hampir 64 peratus tempahan.

Walaupun dunia sedang mengalami pengurangan pelancongan, Airbnb berkata ia masih berpotensi menjana berbilion dolar untuk ekonomi domestik.

Pada tahun 2019, impak ekonomi langsung Airbnb di 30 pasaran teratas mencapai US$117 bilion, iaitu peningkatan 17 peratus sepanjang tahun 2018.



Pengarah Rantau (Asia-Pasifik) Kum Hong Siew berkata Airbnb telahpun melihat tanda-tanda positif awal menunjukkan pelancongan domestik sudah bersedia untuk bangkit semula, didorong oleh penduduk domestik yang menempah percutian dalam negara.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker