Pemimpin Hamas tulis surat pada presiden Umno minta sokongan bantah Israel

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh malam tadi menyampaikan sepucuk surat kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, untuk mendapatkan sokongan antarabangsa dalam usaha membantah rancangan aneksasi Israel untuk merampas dan mengambil hak milik tanah Palestin di Tebing Barat.

Surat itu disampaikan Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran, bagi pihak Haniyeh.

Isi kandungan surat itu antara lain meminta semangat setiakawan dari dunia Islam untuk rakyat Palestin yang kini berdepan saat sukar.

“Hamas dan Palestin mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia dan semua parti politik, rakyat Palestin meminta kumpulan politik Malaysia suarakan semangat perpaduan mereka dengan rakyat Palestin dan menggerakkan segala usaha untuk memberi tekanan hebat ke atas Amerika Syarikat dan Israel bagi membatalkan rancangan mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Muslim berkata surat sama turut akan dihantar kepada parti politik lain di Malaysia.

Minggu lalu Haniyeh menyampaikan beberapa pucuk surat kepada pemimpin di dunia Islam.

Kerajaan perpaduan Israel, yang dibentuk antara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan seteru politiknya Benny Gantz pada Mei, bersetuju untuk melaksanakan rancangan merampas dan mengambil hak milik sebagian besar kawasan di Tebing Barat yang diduduki mulai 1 Julai.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam catatan Facebooknya berkata, menerusi surat itu Haniyeh antara lain berharap semua parti dan pertubuhan politik Arab dan Islam menolak serta menyekat aktiviti normalisasi hubungan Israel dengan mereka berikutan pelan penjajahan kerajaan Zionis itu.

“Hamas ingin memberi penekanan pada hal-hal pencabulan keji hak asasi manusia ke atas Palestin. Rancangan ini seolah-olah memberi ‘lesen’ kepada Tel Aviv untuk meneruskan kekejamannya dengan sokongan Amerika Syarikat dan beberapa negara lain,” tulis Ahmad Zahid.

Pemimpin Hamas itu juga mahu semua kerajaan Islam, parti politik dan pertubuhan di seluruh dunia sepakat memperjuangkan hak rakyat Palestin menerusi pelbagai pendekatan termasuk persidangan dan pelan khas.

– Bernama

Leave a Reply