Kontroversi Speaker Parlimen baharu

TANGGAL 13 Julai hadapan merupakan tarikh penentuan masa hadapan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga kerajaan pimpinannya, Perikatan Nasional.

Selepas lebih tiga bulan mentadbir, kerajaan yang diambil alih Perikatan Nasional daripada tangan Pakatan Harapan (PH) itu perlu membuktikan keabsahan sokongan ahli Parlimen melalui persidangan Parlimen yang akan diadakan selama 15 hari bermula minggu hadapan.

Bahkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul tidak percaya kepimpinan Muhyiddin pada persidangan Parlimen18 Mei lalu mencetuskan kegusaran kerajaan Perikatan Nasional sememangnya tidak utuh sebagaimana didakwa.

Lebih mengejutkan, usul itu diterima Speaker Parlimen, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang dilantik pada zaman pentadbiran kerajaan PH dan merupakan ahli Parti Amanah Negara (Amanah).

Bagaimanapun, Muhyiddin didakwa terselamat susulan tempoh persidangan Parlimen pertama bulan lalu itu dipendekkan kepada sehari atas alasan mengelakkan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Enggan pisang berbuah dua kali, persidangan Parlimen 13 Julai hadapan menyaksikan Muhyiddin mengambil langkah berani mengemukakan dua usul pertukaran Speaker Parlimen, Mohamad Ariff dan timbalannya, Nga Kor Ming yang juga ahli Parlimen DAP pada saat akhir.

Difahamkan, seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menyokong Perikatan Nasional dijangka dikekalkan.

Dua usul itu dikemukakan Muhyiddin susulan Pas mengumumkan akan mengemukakan usul percaya kepada kepimpinan beliau dalam sidang Parlimen akan datang, manakala Dr Mahathir bakal meneruskan usul tidak percaya kepada kepimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Berdasarkan situasi semasa, usul pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker Parlimen boleh dianggap sangat signifikan dalam menentukan kedudukan Muhyiddin kerana sebarang kegagalan dua usul itu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen akan membawa padah.

Jika usul dibawa Muhyiddin gagal memihak kepada beliau, kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional akan dihukum melalui penentuan undi tidak percaya kepimpinannya.

Berikutan itu, terdapat beberapa nama disebut-sebut bakal dicalonkan Muhyiddin bagi menjawat dua posisi penting di Dewan Rakyat itu iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; bekas Speaker Parlimen kerajaan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Namun, sejak semalam spekulasi nama Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dicalonkan Muhyiddin bagi dilantik Speaker Parlimen semakin bertiup kencang sehingga menimbulkan kegusaran beberapa pemimpin BN.

 

Kredibiliti

Persoalannya, adakah keputusan pelantikan Azhar Azizan akan memberi kelebihan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional susulan dakwaan beliau cenderung menyokong Dr Mahathir dan PH? Secara perundangan, pelantikan Azhar Azizan sebagai Speaker Parlimen, adalah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Dalam norma kebiasaan pelantikan seorang Speaker Parlimen, latar belakang pendidikan dalam bidang perundangan amat diperlukan dan Azhar yang sebelum ini merupakan seorang peguam hak asasi manusia, memenuhi kriteria itu.

Dalam satu temu ramah eksklusif Sinar Harian bersama Azhar Azizan awal bulan ini, beliau mendedahkan pernah menjadi peguam BN bagi menguruskan penyediaan petisyen pilihan raya melibatkan calon pilihan raya parti itu bermula pilihan raya umum (PRU) tahun 2004.

“Pada tahun itu juga saya mula terlibat dalam penyediaan petisyen pilihan raya. Saya sebenarnya peguam BN pada ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Susulan pendedahan Azhar Azizan itu, tidak mustahil pencalonannya dikemukakan Muhyiddin susulan beliau difahamkan masih mempunyai hubungan baik dengan beberapa pemimpin utama Bersatu dan BN ketika ini.

Hakikat itu dipersetujui penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian yang berpandangan Azhar Azizan memenuhi kriteria kelayakan sebagai calon Speaker Parlimen.

Jelasnya, pencalonan beliau juga dilihat penting bagi membolehkan Muhyiddin meneruskan amalan doktrin pemisahan kuasa, susulan beliau sudah berpengalaman mengendalikan SPR.

“Sekalipun ada pandangan berbeza terhadap kewajaran pencalonan Azhar oleh sebilangan pemimpin BN, saya percaya penjelasan tuntas akan diberikan Muhyiddin kelak.

“Saya juga berkeyakinan Muhyiddin lebih memilih Azhar berbanding pelantikan dalam kalangan ahli politik kerana keputusan itu dibimbangi akan mewujudkan polemik berterusan pengagihan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional.

“Bagi saya, amat penting pencalonan Azhar tidak dilihat dari aspek personaliti, sebaliknya kewibawaan beliau dalam menggalas amanah besar terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Sivamurugan turut berpandangan Azhar Azizan menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi SPR secara saksama dan tidak dilihat cenderung menyokong PH sebagaimana didakwa.

“Jangan disebabkan pelantikan Azhar berlaku pada waktu pentadbiran kerajaan berbeza, ia dijadikan satu asas untuk beliau ditolak daripada jawatan Speaker Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan seorang lagi penganalisis politik dan perundangan, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek yang menganggap cadangan pencalonan Azhar Azizan sebagai satu tindakan politik kurang bijaksana dan tidak bermanfaat kepada Perikatan Nasional.

 

Kurang bijaksana

Menurutnya, beliau faham kegusaran sebilangan penyokong Perikatan Nasional, lebih-lebih lagi Azhar Azizan dianggap individu cenderung menyokong Dr Mahathir dan PH selama ini.

“Saya tidak katakan beliau (Azhar Azizan) bakal berpihak kepada PH,tetapi kebarangkalian itu ada sebab beliau dipercayai orang Dr Mahathir yang terang-terangan bakal mengemukakan usul tidak percaya kepimpinan Muhyiddin.

“Itu yang timbul kegusaran (dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional). Namun sekiranya ada perundingan rahsia antara Muhyiddin dan Azhar bagi mengukuhkan strategi politik Perdana Menteri itu, saya tidak pasti,” katanya.

Abdul Halim turut mendakwa Azhar Azizan selaku Pengerusi SPR pernah merangka cadangan menyemak semula kawasan persempadanan pilihan raya sewaktu pentadbiran kerajaan PH diterajui Dr Mahathir.

“Sudah tidak ada lagikah orang dalam PN yang layak dijadikan Speaker Parlimen? Sekiranya tidak mahu lantikan politik, ramai ahli profesional yang menyokong kerajaan atau betul-betul bersikap non partisan yang boleh dipertimbangkan.

“Saya berharap kerajaan Perikatan Nasional tidak tersilap langkah kerana proses pemilihan Speaker Parlimen sangat penting dalam menentukan nasib kerajaan Perikatan Nasional kelak,” katanya.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker