Hentikanlah Provokasi Ini!

Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama yang pada asasnya hidup secara aman dan damai.

Kepelbagaian itu satu keunikan yang sepatutnya dirai dan menjadi kebanggaan rakyat kita. Malangnya aspek berkenaan kian dirobek dari hari ke hari. Sepatutnya kita menjadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai pengalaman.

Entah apa niatnya, ada sahaja yang cuba mencetuskan provokasi terhadap agama, kaum malah kepada institusi diraja.

Pada masa ini, kita berdepan dengan cabaran perpaduan yang dibawa menerusi provokasi di media sosial dan kepantasan maklumat yang disebarkan itu boleh menjejas dan mengganggu gugat perpaduan di negara ini dalam sekelip mata.

Segelintir kelompok ini menzahirkan idea yang menongkah ‘fitrah’ hidup dalam masyarakat majmuk. Tiang keluhuran dan perlembagaan negara ‘dilanggar’ dengan selamba.

Sama ada sengaja atau tidak, perbuatan menghina negara amatlah keji. Di manakah golongan yang mencetuskan provokasi ini bersekolah sehingga tidak sedar impak dek tindakannya.

Melihat perkembangan tidak sihat dengan semakin ramai yang berani menyentuh sensitiviti terutama soal bangsa, agama dan negara, sebagai rakyat marhaen, penulis berasa sedih. Apa nak jadi dengan masyarakat kita sekarang ini?

Sudah lupakah janji nenek moyang kita sebelum mendapat kemerdekaan kira-kira 63 tahun lalu hingga nama Malaysia terpahat? Kepentingan sejarah sebagai asas jati diri langsung tidak dipeduli.

Terbaharu, ada segelintir warganegara yang bersikap biadab, begitu berani mengubah Jata Negara. Jika alasan tidak kenal rupa Jata Negara diberikan, bermakna seseorang itu tidak layak menjadi rakyat Malaysia

Sedar atau tidak, kejadian-kejadian penghinaan sebegini menunjukkan tidak semua rakyat Malaysia menghormati lambang-lambang negara yang sepatutnya disanjung tinggi.

Pada saat pelarian Rohingya melihat adanya ‘syurga’ di negara ini hingga berbondong-bondong datang ke mari, kelompok tertentu dalam negara ini pula merasakan sebaliknya.Ironinya segelintir mereka entah apa yang tidak puas hati melahirkan cita-cita mahukan ‘kelahiran semula, penentangan dan harapan Malaysia baharu’ kononnya.

Adakah terasa terlalu terseksa tinggal di negara yang tidak pernah kita dengar berlaku penindasan, tunjuk perasaan atau ekstremis rasis hingga mencabut nyawa.

Mereka sendiri tidak menyedari kucar-kacir yang timbul pada hari ini hanya disebabkan provokasi rekaan mereka sendiri. Ya, kerana jiwa mereka tiada sensitiviti.

Rasanya tidak perlulah lagi diolah panjang, jika asas yang satu ini iaitu Rukun Negara tidak difahami.

Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13.

Semaklah semula asas sejarah Rukun Negara diperkenalkan iaitu susulan peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang menyebabkan pergaduhan antara kaum yang paling buruk di negara ini.

Menurut portal MyGoverment, Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian Malaysia.

Lima Prinsip Rukun Negara ialah Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Tindakan

Bagi yang tidak dapat mematuhi asas berkenaan, carilah negara lain yang dapat memenuhi selera sendiri.Hanya manusia yang tidak sayangkan negara sendiri yang sanggup menabur racun untuk menggugat keharmonian. Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang meniru lambang yang serupa Lambang Kerajaan Persekutuan, Jata Negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sendiri telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas kepada pelaku yang cuba mengubahnya. Tindakan mengubah suai Jata Negara perlu dikenakan hukuman berat tanpa kompromi kerana ia adalah perbuatan sangat biadab.

Setakat minta maaf, denda dan amaran dikatakan langsung tidak akan memberi kesan. Ia juga didakwa melahirkan lebih ramai rakyat yang lebih berani menghina kedaulatan negara.

Paling tidak dapat diterima, perbuatan itu mewujudkan suasana tidak senang antara kaum hingga rasa curiga-mencurigai. Usahlah melakukan provokasi mencabar kedaulatan negara kita.

Sayangilah negara dan jagalah keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini tanpa melakukan provokasi dengan sengaja.

* Azimah Ghazali

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker