Hanya 1 kes baru Covid-19, bukan penularan tempatan

Hanya 1 kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, dan ia bukan kes penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham menjelaskan 1 kes baru itu adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Sukacita dimaklumkan tiada kes penularan dalam negara yang dilaporkan hari ini,” katanya pada sidang media tadi.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan tiada kematian dilaporkan dalam tempoh sama, menjadikan bilangan keseluruhan mangsa yang terkorban berkaitan Covid-19 kekal 121 orang.

Ketika ini, seramai 144 pesakit sedang dirawat di seluruh negara, dengan 4 berada di unit rawatan rapi dan 2 daripada mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.

Hisham juga mengumumkan 21 orang pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar wad.

Sehingga kini, Malaysia melaporkan 8,640 kes Covid-19 dengan 8,375 daripadanya sembuh.

Dalam pada itu, Hisham berkata 4 bulan sudah berlalu sejak kes pertama gelombang ke-2 Covid-19 dilaporkan, iaitu pada 27 Feb, dan pertama kalinya pada hari ini Malaysia mencatatkan kes harian yang terendah.

Lebih penting lagi, tiada kes jangkitan daripada penularan dalam negara, sama ada dalam kalangan orang tempatan atau warga asing.

“Kes harian dalam kalangan rakyat, iaitu yang mendapat jangkitan dalam negara, didapati sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan dan ramalan pada 21 Mei oleh Institut Kesihatan Negara (NIH),” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker