Doktor & Pegawai Farmasi Berganding Bahu Jual Dadah

DOKTOR lelaki dan pegawai farmasi wanita ditahan polis malam tadi selepas pembabitan mereka dalam pengedaran dadah di sekitar Petaling Jaya sejak tiga bulan lalu terbongkar.
Dalam kejadian 10.25 malam itu, lelaki berusia 28 tahun dan wanita berumur 26 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika menaiki Honda Civic di Jalan PJU 1a/3, Kelana Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan, polis menemui dua paket plastik lutsinar disyaki ganja seberat 70 gram yang disimpan di sebuah beg.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing, suspek lelaki didapati positif dadah jenis ganja tetra hydrocannibol (THC) manakala suspek seorang wanita pula negatif.
“Siasatan mendapati mereka sudah tiga bulan terbabit dengan pengedaran dadah di sekitar daerah ini.
“Suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tiga sebatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melihat pembabitan mereka terutamanya dalam kes pengedaran dadah di kawasan Petaling Jaya.
“Semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kereta serta dadah dirampas,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker