‘Musuh kita itu tidak kelihatan, tuan…’

Ahli politik yang terlibat dengan kempen pilihan raya Sabah dan pertama disahkan positif Covid-19 ialah Mohd Razlan Rafii. Dia ialah anggota Majlis Tertinggi Umno.

Media melaporkan berita tersebut pada 21 Sept lalu. Pada hari sama, jumlah kes positif Covid-19 hanyalah 51 sahaja. Namun petunjuk kenaikan jelas dari hari ke hari.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara berterusan menasihati semua yang terlibat dengan kempen pilihan raya agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Keadaan penularan dan jangkitan kelihatan terkawal pada tarikh tersebut dan hari-hari selepasnya. Hinggalah kes positif melibatkan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad diketahui umum.

Ia disahkan sendiri oleh senator itu di media sosialnya. Maka paniklah juga masing-masing kerana melihat kepada aktiviti menteri itu beberapa hari kebelakangan ini.

Cumanya dalam panik itu tidak ramai yang berani bersuara.

Pada masa sama orang ramai ada yang terdetik hatinya untuk berfikir: Takkanlah ulama yang ‘dekat dengan Allah’ dan menerima ‘bimbingan’ daripada-Nya dibiarkan dijangkiti Covid-19?

Memang wajar semua orang bimbang. Tetapi kebimbangan itu sepatutnya tidaklah sehingga mengkritik melulu orang berilmu. Biarlah bimbang itu misalnya kerana melihat orang berilmu terbabit berdiam diri melihat orang berkuasa melanggar peraturan hidup.

Dinding Facebook agak sunyi

Negara kemudian digemparkan dengan senarai program disertai Zulkifli yang jelas melibatkan ramai rakyat Malaysia. Paling sayu, mengenangkan kanak-kanak yang baru lahir ditahniknya.

Paling kritikal pula ialah apabila Zulkifli menghadiri mesyuarat keselamatan melibatkan sebahagian anggota kabinet termasuk perdana menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Ia adalah ancaman besar kepada pentadbiran negara. Bayangkan sekiranya perdana menteri, menteri yang mengelola polis, yang mengelola tentera dan menteri kanan turut disahkan positif.

Apa akan jadi kepada perjalanan kerajaan Malaysia?

Kebimbangan rakyat tidak terhenti di situ. Zulkifli turut menghadiri program melibatkan kakitangannya sendiri, pentadbir dan pelajar dua buah universiti, hakim-hakim mahkamah syariah dan kakitangan mereka, hadirin program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta kuliah-kuliah pengajiannya di tempat-tempat berbeza.

Siapakah yang bersalah?

Soalan begini tidak disukai sesetengah orang, khususnya jika ia melibatkan pemimpin tersayang. Lainlah jika menteri itu – misalnya – Mujahid Yusof atau Maszlee Malik.

Mereka yang tidak senang itu biasanya akan laju saja melancarkan serangan tanpa had ke atas pemimpin berkenaan.

Kini yang terkena Covid-19 bukanlah menteri dari Pakatan Harapan. Justeru ada sesetengah dinding Facebook kelihatan sepi daripada komentar tentang kes ini.

Barangkali mereka terhijab atau mungkin juga tersedak dengan sebuah pengajaran cukup bermakna. Maka biarlah kita yang perihatin sahaja menilai perkara ini. Kerana sayangkan negara dan kasihkan rakyat, kita wajar meneruskan kritikan.

Benarkah menteri agama itu tidak bersalah?

Jika dilihat kepada perjalanan bekas mufti itu yang ke sana dan ke sini, nampak dia gagal memenuhi beberapa ketetapan penting SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Selain itu, tindakan mentahnik bayi juga dipercayai satu kesalahan yang amat serius.

Keputusan tempang bawa kesan buruk

Tentang pergerakan beliau untuk menghadiri pelbagai program selepas pulang dari Sabah, ia bergantung kepada SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

Pun begitu, dengan mengetahui serba sedikit sifat virus ini dan kebarangkalian penularannya adalah tinggi jika berlaku kontak rapat, adakah belum memadai untuk semua pihak berjaga-jaga?

Kita juga sedia maklum, terdapat banyak kes yang positif walaupun keputusan ujian saringan pertama dan kedua adalah sebaliknya.

Sebagai pemimpin dan menteri Zulkifli seharusnya mengambil tanggungjawab serius akibat tindakan dan keputusannya yang silap baru-baru ini.

Dengan adanya kebarangkalian tinggi berlaku jangkitan, kita masih kurang faham kenapa MKN tidak mahu mewajibkan mereka yang pulang dari Sabah untuk melakukan kuarantin wajib di rumah masing-masing.

Ketika ini keputusan tempang MKN sudah memberi kesan buruk sehinggakan Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah sendiri terpaksa mengurungkan diri di rumah selepas menghadiri mesyuarat dengan Zulkifli.

Saya percaya kesalahan berlaku di pihak menteri dan juga MKN. Mereka seharusnya melihat perkara ini dengan teliti dan rakyat menantikan keputusan lebih tegas.

Isu yang dihadapi semua sekarang adalah cukup serius dan mengerikan. Kelucuan dan jenaka perdana menteri petang semalam tidak akan mengendurkan hakikat ancaman Covid-19.

Rakyat menanti kerajaan membuktikan kebijakan mereka sebagai pentadbir. Penantian ini bukan seperti lagu Penantian Harmoni pada era 1970-an dulu, atau Istana Menanti Rahim Maarof.

Pada masa sama, Covid-19 itulah yang setia menanti di luar rumah kita.

Tiada jaminan akan kekal selamat

Elok ditegaskan, tulisan ini bukan bermaksud mahu merendahkan Zulkifli yang berstatus ulama dan pembimbing umat. Ia juga bukan mahu memburukkan kesilapan dan kekhilafan menteri agama. Apatah lagi mahu mengancam Islam dan mencalar kasih sayang umat terhadap senator itu.

Saya mahu mengajak kita bersama-sama meletakkan kepentingan umat lebih di hadapan berbanding susuk Zulkifli sebagai menteri atau mana-mana parti.

Nyawa rakyat wajib didahulukan berbanding sentimen kepartian atau kesukuan. Tidak mahu belajarkah dengan apa yang telah berlaku?

Buat Zulkifli, saya doakan tuan dalam pemeliharaan Allah. Namun tuan perlu bertindak lebih bertanggung jawab selepas ini. Patuhilah segala SOP yang ditetapkan.

Tuan juga boleh menggesa MKN mengetatkan SOP yang kelihatan amat longgar. Sebaik tuan sihat nanti, tiada jaminan daripada sesiapa untuk tuan selamat daripada dikunjungi jangkitan sekali lagi.

Sesiapapun – termasuk saya dan perdana menteri – sentiasa terdedah kepada jangkitan. Musuh kita itu tidak kelihatan. Berbeza kalau kita berhadapan dengan pertahanan Arsenal, kita boleh merobek atau kena robek.

Juga harapan saya buat tuan yang mulia, kembalilah melihat kerja-kerja hakiki tuan selaku menteri agama. Bantuan musa’adah, urusan kebajikan rakyat, bantuan fakir miskin, pengajian agama di sana sini dan seumpamanya bukan kerja hakiki tuan sebagai seorang menteri yang menjaga pelaksanaan siasah syariah di peringkat dasar pentadbiran dan pengurusan negara.

Bagaimana kedudukan mahkamah syariah pada hari ini? Apa pula kebajikan para hakim dan peguam? Apakah akta yang mesti dikemukakan? Malah tuan janganlah lupa untuk mengagihkan tugasan penting kepada timbalan tuan.

Bekerja dalam satu kumpulan adalah ramuan penting kejayaan Jurgen Klopp dan anak buahnya. Tuan tentu arif.

Saya akhiri dengan ucapan, semoga Allah menyembuhkan tuan dan memberkati urusan-urusan diri dan negara melibatkan tuan. Mk

ISLAH MURSYID

‘Video seks kelihatan tidak diubah’ – Laporan berita Australia petik pakar.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker