Tun Mahathir, Anwar disaran bersara untuk selesai kemelut politik

Share

ALOR SETAR – Kemelut politik Pakatan Harapan (PH) belum berkesudahan apabila masih gagal memuktamadkan calon Perdana Menteri yang dipersetujui bersama.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sehubungan itu pihaknya mencadangkan mantan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundurkan diri daripada politik sebagai jalan penyelesaian.

Menurutnya, tindakan itu sekali gus menamatkan pertikaian calon perdana menteri antara dua tokoh ternama itu.

“Dari awal seolah masing-masing ada agenda tersirat, termasuk pihak lain. Cukuplah kedua-dua tokoh itu beri naratif yang buruk kepada rakyat. Mereka boleh memilih untuk bersara, bagilah peluang kepada kepimpinan muda untuk berkhidmat dalam kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Tarmizi berkata, rakyat tidak akan marah sekiranya mereka bersara dari politik ketika ini, malah suasana politik kemungkinan lebih tenang tanpa pergeseran terbuka antara dua tokoh itu.

“Andai mereka berundur secara terhormat sebagai pesaing untuk jawatan Perdana Menteri dan memberi peluang kepada tokoh baru kalangan pemimpin politik, ia merupakan suatu impak besar dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas konflik yang menyaksikan perebutan jawatan Perdana Menteri antara Dr Mahathir dan Anwar sejak PH mentadbir selama 22 bulan.

Terbaharu, Dr Mahathir mengumumkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dicalonkan secara rasmi sebagai Perdana Menteri kesembilan manakala Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2.

Dalam perkembangan berkaitan, berhubung satu usul tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dikemukakan pada sidang Parlimen Julai ini, Ahmad Tarmizi berharap semua Ahli Parlimen menggunakan kematangan berpolitik dalam menangani isu berkenaan.

“Saya melihat situasi ini memerlukan kematangan ahli politik termasuk pembangkang. Mereka perlu terima hakikat dan realiti kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan secara lancar dan mengikut peraturan perlembagaan negara,” katanya.

Menurutnya, tiada keperluan kerajaan PN yang disebut sebagai kerajaan pintu belakang perlu digulingkan.

“Pembentukan kerajaan PN sejak tiga bulan lalu adalah mandat rakyat melalui majoriti mencukupi daripada Ahli Parlimen. Itu perlu difahami terlebih dahulu. Kerajaan ini adalah kerajaan mandat rakyat, iaitu melalui Ahli Parlimen yang dipilih rakyat dan kami berhak untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, ‘gula-gula’ yang ditabur pembangkang untuk meracuni pemikiran rakyat tidak berkesan kerana rakyat bijak menilai gabungan mana lebih baik untuk mentadbir negara.

“Pelbagai cerita dilontarkan kononnya mereka lebih baik berbanding PN jika diberi peluang sekali lagi membentuk kerajaan. Saya yakin rakyat sudah melihat perbandingan antara 22 bulan PH mentadbir dengan tiga bulan ditadbir PN.

Kunci kejayaan PN adalah membina kerjasama dan persefahaman kalangan parti yang sebelum ini bermusuhan, toleransi ini berjaya membentuk kerajaan. Pembangkang pula telah merosakkan nilai kerjasama sehingga berpecah, rakyat dapat melihat gabungan mana lebih kukuh dan itulah yang rakyat mahu,” katanya.

Menurutnya, kesatuan antara parti gabungan penting dalam memastikan kestabilan negara, berbanding pihak yang berpecah dan ternyata akan gagal mengurus negara seperti yang berlaku sebelum ini.

“Isu calon Perdana Menteri pun tak mampu diselesaikan sehingga kini, macam mana mungkin mereka ada ruang untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Sabtu lalu, Dr Mahathir menegaskan, satu usul tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin akan dikemukakan pada sidang Parlimen Julai ini.

Menurut beliau, ahli-ahli Parlimen yang tidak boleh menerima kerajaan pintu belakang Muhyiddin dan mahu mengembalikan mandat rakyat akan bersama menyokong usul agar Shafie menjadi Perdana Menteri.

SH

One thought on “Tun Mahathir, Anwar disaran bersara untuk selesai kemelut politik

  • July 3, 2020 at 11:58
    Permalink

    Tok Nyok dan Tok Tua (Jurassic):
    Kedua-dua nya mesti bersara immediately agar kemelut politik kembali normal yer.

    Reply

Leave a Reply