Saya terpedaya tipu helah Jho Low, kata bekas CEO 1MDB

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beliau terpedaya dengan tipu helah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dalam penubuhan Brazen Sky Ltd bagi tujuan mendapatkan kembali dana pelaburan negara itu.

Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan kepada saksi itu, meskipun Jho Low berkata syarikat itu ditubuhkan bagi tujuan mendapatkan kembali wang 1MDB, ia sebenarnya untuk memberikan gambaran sejumlah wang yang sah akan diperolehi Brazen Sky.

Brazen Sky ialah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan pada 12 Julai 2012 bagi mendapatkan kembali wang 1MBD.

Bagaimanapun, saksi ke-9 pendakwaan itu berkata, beliau tidak menyedarinya ketika itu.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas Shafee pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dalam skandal 1MDB.

Shafee: Mengapa perlu ada Brazen Sky? Bukankah ia (wang) boleh dipindahkan secara terus ke akaun 1MDB?

Shahrol Azral: Jho Low beritahu saya keadaan pasaran tidak memihak kepada 1MDB untuk mencairkan semua unit sekaligus dan mencadangkan ia dilakukan sedikit demi sedikit.

Shafee: Namun berdasarkan pengalaman, anda kini tahu perkara ini tidak benar dan dana itu diuruskan Jho Low.

Shahrol Azral: Ya.

Saksi itu berkata, Jho Low mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mampu meyakinkan orang lain yang beliau bertindak demi kepentingan mereka.

Peguam itu mencadangkan Najib juga sebenarnya ditipu Jho Low dan Shahrol Azral berkata, beliau tidak boleh memberikan komen mengenai perkara itu.

Pada akhir prosiding hari ini, Shafee berkata, beliau akan menyentuh isu lain yang lebih besar dan meminta perbicaraan diteruskan esok pagi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bertanya kepada peguam itu berapa lama masa yang akan diambilnya untuk menyoal balas Shahrol Azral.

Shafee berkata, beliau mempunyai 3 fasa lagi untuk menyoal balas saksi itu dan akan mengambil masa 3 minggu untuk menyelesaikannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pendakwaan mempunyai 55 saksi lagi, termasuk dari luar negara.

Najib, 67, berdepan 4 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai sama.

Perbicaraan bersambung esok.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker