Kadir dakwa Jalil dipecat kerana jolok sarang tebuan.

Share

Tempoh Jalil Rasheed di PNB singkat sebab dia usik sarang tebuan’

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin mendakwa bekas presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) Abdul Jalil Rasheed hanya memegang jawatannya dalam tempoh yang singkat kerana mengusik “sarang tebuan” ketika cuba memperbaiki keadaan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Sedangkan, jelas Kadir, mana-mana individu yang dilantik menggalas jawatan itu akan berdepan cabaran besar.

“Apatah lagi pada ketika badan pelaburan Bumiputera itu sedang dilanda masalah dalaman dan luaran.

“Tempoh lantikan Abdul Jalil menjadi amat singkat kerana dia mengusik beberapa biji sarang tebuan dalam usaha memperbetulkan keadaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam dilaporkan, Ahmad Zulqarnain Onn dilantik sebagai presiden dan ketua eksekutif kumpulan (PGCE) PNB yang baru, berkuat kuasa 1 Julai 2020 menggantikan Abdul Jalil.

Sebelum ini, Ahmad Zulqarnain merupakan Timbalan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), dan mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam sektor perkhidmatan kewangan dan korporat.

Pada 15 Jun, ketika sesi townhall bersama kakitangan PNB, Abdul Jalil menjelaskan peletakan jawatannya dengan berkata bahawa dia memilih “jalan sukar” untuk melepaskan jawatan, sambil pada masa sama perlu berperang dengan hati nuraninya sendiri.

Abdul Jalil turut mendedahkan bahawa beliau menghadapi gangguan semasa memegang jawatan sebagai CEO dan presiden kumpulan PNB.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Kadir turut mendakwa bahawa salah satu masalah yang dihadapi oleh syarikat tersebut merupakan usahasama tiga penjuru dengan Jakel dan Symphony Life Berhad.

Justeru, katanya, adalah kesilapan besar jika Ahmad Zulqarnain cuba menyembunyikan “sarang-sarang tebuan” itu kerana banyak pihak, khususnya pasaran modal, sudah mengetahuinya.

“Sejak itu tersebar luas dalam media perdagangan dan media sosial berita mengenai penglibatan PNB dengan syarikat minyak dan gas (O&G), Sapura Energy Berhad.

“Saya amat yakin Ahmad Zulqarnian tidak akan cuba menyapu ke bawah permaidani kekotoran yang boleh membahayakan PNB dan 14 juta pelabur amanah sahamnya,” kata Kadir.

Tokoh wartawan negara itu juga berkata bahawa beliau difahamkan PNB telah menambah pemilikan saham Sapura Energy daripada 12 peratus kepada 40 peratus awal tahun lalu.

Akibat kejatuhan teruk harga petroleum dan gas asli di pasaran dunia, kata Kadir, saham Sapura Energy merudum.

“Bagi tahun ini, harga sahamnya telah jatuh daripada 28 sen pada 3 Januari kepada 9 sen hari ini.

“Banyak lagi yang boleh dan perlu bahaskan mengenai PNB demi mempertingkatkan ketelusan dan kebertanggungjawabannya,” katanya.

Mkini

(Visited 1,005 times, 16 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!