‘Guru bekerja semasa PKP, kurangkan cuti tak iktiraf peranan mereka’

Share

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyifatkan perubahan takwim dengan mengurangkan cuti persekolahan sebagai tidak mengiktiraf tugas guru ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden NUTP Aminuddin Awang, berkata ini kerana guru telah melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian ketika PKP dikuatkuasakan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Guru tetap bekerja (ketika PKP) melaksanakan pengajaran secara “online”. Memendekkan cuti seolah-olah kerja guru tak diktiraf.

“Bukan itu saja, guru-guru dari Sabah dan Sarawak juga telah merancang jadual mereka pada cuti persekolahan itu. Jadi ini telah mengganggu perancangan mereka khususnya untuk pulang ke kampung.

“Bahkan lebih dari itu sebenarnya cuti persekolahan menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 24 Jun lalu, Aminuddin Awang (gambar bawah) berharap Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin mempertimbangkan semula pindaan Takwim Penggal Persekolahan tahun 2020.

Katanya, langkah memendekkan cuti penggal dua dan akhir tahun itu menimbulkan kekecewaan dan kegelisahan, khususnya guru dari Semenanjung yang mengajar di Sabah dan Sarawak.

“Kita harap pihak Kementerian Pendidikan dapat mempertimbangkan semula keputusan tersebut. Keputusan yang dibuat oleh KPM memendekkan cuti tersebut akan menimbulkan kekecewaan dan kegelisahan, selain mengganggu banyak perancangan yang telah dibuat (guru).

“Ramai guru terutamanya di Sabah dan Sarawak yang sudah lama tidak balik ke kampung dan merancang untuk balik ke kampung pada tarikh cuti sebagaimana yang asal tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana perubahan yang baru ini.

“Harapan kita semoga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat membuat penilaian semula terhadap keputusan tersebut dan kembalikan kepada cuti yang asal,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, KPM mengumumkan pindaan takwim persekolahan itu melibatkan cuti pertengahan penggal dua yang dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah di seluruh negara.

Cuti akhir tahun bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) pula dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari, manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

Mengulas lanjut Aminuddin berharap menteri sedia mengadakan pertemuan dengan pihaknya bagi membincangkan isu berkenaan yang menimbulkan keresahan dalam kalangan guru.

Jelasnya, pihaknya telah menghantar surat kepada menteri memohon untuk mengadakan pertemuan.

“Surat telah dihantar kepada menteri namun, sehingga kini belum ada jawapan balas, kita amat berharap agar dapat mengadakan perbincangan.

“Begitu juga surat rayuan berhubung perubahan takwim ini juga turut dihantar kepada menteri,” katanya lagi.

Mkini

Leave a Reply