Calon TPM PH : “Level” Anwar sama dengan Mukhriz saja.

Share

Calon TPM PH: Adakah tahap politik Anwar hanya setaraf dengan Mukhriz? – Syed Ali

Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri didakwa sia-sia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan nama Presiden PKR itu sebaris dengan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai calon timbalan perdana menteri.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee, mendakwa tindakan Dr Mahathir itu seolah-olah menggambarkan secara tersirat Anwar tidak berkelayakan menjadi perdana menteri.
“Ramai tertanya-tanya kenapa sebelum ini blok pembangkang bermain dengan slogan ‘mandat rakyat’ tetapi apabila menamakan bakal Perdana Menteri Kesembilan, ia langsung tidak mengambil kira sensitiviti rakyat.

“Apa pun natijahnya di sebalik keputusan ‘luar biasa’ Dr Mahathir itu, pemahaman rakyat semakin matang melihat betapa teruknya perangai pemain politik yang rakuskan kuasa.

“Pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk berkuasa biarpun tindakan mereka dilihat ‘sebagai lawak jenaka’ dan melangkau batas pemikiran normal, seperti kejutan dengan menamakan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Kesembilan,” dakwanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya di sini, pada Isnin.

BACA: “Bukan saya cadang Mukhriz jadi TPM” – Dr Mahathir

BACA: ‘Beri saya sedikit masa pertimbang jadi calon PM ke-9’ – Shafie Apdal

Pada Sabtu, Dr Mahathir mengumumkan gabungan parti yang menyokong beliau iaitu DAP, Amanah, Warisan dan beberapa pemimpin Bersatu yang terhenti keahlian bersetuju untuk mencalonkan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Gabungan yang dikenali sebagai PH Plus itu turut menamakan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) 1 dan Mukhriz sebagai TPM 2.

Dalam pada itu, dakwa Syed Ali, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara wujudnya jawatan TPM 2 sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj sehingga kini.

“Pelik dan ganjil permainan politik PH Plus dalam strategi mereka mahu menumbangkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

“Ironinya, Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak dimaklumkan terlebih awal mengenai pencalonan Shafie sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

“Berdasarkan respons Anwar dan sekutunya dalam PH, jelas idea Dr Mahathir itu amat tidak digemari kerana seperti cuba menghalang Anwar menduduki kerusi Perdana Menteri Kesembilan,” dakwanya.

Sementara itu dakwanya, maklumat akar umbi juga memaklumkan, selain tentangan keras PKR, DAP serta Amanah juga belum bersedia mengistiharkan pengakuan terbuka menyokong Shafie.

“Shafie pula dilaporkan berkata akan ‘berfikir’ dan ‘tidak akan mengambil masa yang lama’.

“Permainan politiknya jika dilihat secara tersirat menunjukkan Anwar digambarkan tidak berkelayakan memegang jawatan Perdana Menteri, kecuali hanya Shafie.

“Barangkali taraf politik Anwar cukup sekadar mengisi jawatan TPM 1, menyamai taraf Mukhriz selaku TPM 2,” dakwanya.

Katanya lagi, rakyat kini teruja dengan pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang bertungkus-lumus membina negara kesan penularan wabak COVID-19.

“Gandingan dan sokongan beberapa parti dalam kerajaan PN terhadap Muhyiddin adalah bukti mereka menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

“Memang diakui akan ada sedikit kegelisahan dan suara sumbang dalam kalangan PN tetapi itu adalah lumrah kerana ‘susunan jari pun ada panjang pendeknya’.

“Keyakinan dan sokongan rakyat Malaysia terhadap Muhyiddin sudah cukup untuk beliau meneruskan agenda membela nasib rakyat,” katanya.

Awani

Leave a Reply