30 tahun Jadi Tekong Bot, Ini Pengalaman Paling Menakutkan!

KOTA BHARU – Tekong bot yang karam dipukul ribut malam tadi bergadai nyawa berenang lebih empat batu nautika demi menyelamatkan 19 kaki pancing di dalam botnya yang hampir lemas.

Pengalaman ngeri meredah lautan bergelora itu diceritakan oleh Halifa Mohd Noor, 47, iaitu isteri kepada Hazahar Mat Sanisah, 48, yang mana suaminya kini mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di sini.

Halifah berkata, dia mengetahui insiden menimpa suami bersama dua anaknya, Ikhwan, 27, dan Ikram, 20, yang turut mengikuti trip memancing itu setelah dimaklumkan penduduk kampung pada jam 9 malam ketika berada di rumahnya di Kedai Buloh.

“Saya tidak tahu masa itu mahu percaya atau tidak, saya hampir rebah dan terus mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa untuk pengesahan. Saya sempat jumpa suami pada jam 4 pagi di unit kecemasan HRPZ II tapi dia sangat letih dan dia kata dia masih trauma dengan kejadian dipukul kepala ribut.



“Dia kata inilah pengalaman paling menakutkan dan membuat dia sangat trauma sepanjang lebih 30 tahun menjadi tekong. Dia juga beritahu setelah kejadian dia terus membaling pelampung kepada awak-awak yang lain dan menanggalkan bajunya sebelum terjun ke dalam laut untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Ibu kepada lima anak itu berkata, suaminya berenang sekuat hati dan tidak menghiraukan keselamatan diri untuk meminta pertolongan daripada kenalan yang berada di bot berdekatan dengannya.

“Dia cakap kalau dia tidak buang baju, dia mungkin tidak sempat sampai di bot kawannya sebab ombak dan angin sangat kuat, air laut sudah banyak kali tertelan,” katanya.

Halifah berkata, setelah suaminya mendapat rawatan, dia masih tidak dibenarkan melawat atas nasihat doktor kerana keadaannya yang terlalu trauma.

Katanya, buat masa ini dia sangat bersyukur kerana dua anak dan suaminya selamat dengan seorang anaknya masih dirawat di HRPZ II.



SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker