PKR Sahkan Pecat Ketua Wanita PKR, 2 Ketua Wanita Negeri, 2 ADUN, & Beri Amaran 4 Yang Lain · MYKMU.NET

PKR Sahkan Pecat Ketua Wanita PKR, 2 Ketua Wanita Negeri, 2 ADUN, & Beri Amaran 4 Yang Lain

Share

PKR mengesahkan pemecatan lima pemimpin yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali.

Mereka ialah Ketua Wanita PKR Haniza Talha, Ketua Wanita Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, Ketua Wanita Sabah Rahimah Majid  dan dua Adun Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) serta Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim.

Keputusan itu dibuat oleh dewan kepemimpinan pusat PKR setelah mengkaji cadangan yang dibawa oleh lembaga disiplin itu.

PKR memulakan siasatan tatatertib terhadap mereka yang dilihat sebagai penyokong Azmin.

Azmin merupakan antara individu yang terlibat dalam gerakan politik ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kejatuhan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Azmin dan beberapa wakil rakyat lain yang menyokongnya akhirnya keluar parti untuk bergabung dengan Bersatu, Umno dan PAS untuk membentuk Perikatan Nasional, yang mengambil alih kerajaan dari PH.

Sementara itu, lembaga disiplin PKR juga mengeluarkan amaran terhadap naib presidennya Chua Tian Chang, yang dikenali sebagai Tian Chua, wakil rakyat DUN Machap Jaya, Ginie Lim dan ketua komunikasi Wanita Pulau Pinang, Carolyn Khor.

Parti itu juga bersetuju untuk menggantung keanggotaan individu yang didakwa terlibat dalam serangan fizikal terhadap Tian Chua pada 30 Mac, sementara menunggu siasatan oleh pihak berkuasa.

Leave a Reply