PKR pecat ahli rapat dengan Azmin demi balas dendam, kata Haniza

Haniza Talha yang dilucutkan keahliannya oleh PKR semalam menyifatkan parti itu dilihat membalas dendam dengan memecat dan “memburu” ahlinya yang rapat dengan bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali.

“PKR semakin tersasar daripada perjuangan menegakkan keadilan,” kata Adun Lembah Jaya itu ketika dihubungi Bernama hari ini melalui WhatsApp.

Bekas ketua Wanita PKR itu berkata, beliau belum menerima surat atau notis rasmi daripada parti berhubung pemecatan berkenaan.

Semalam, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keahlian 5 ahlinya, termasuk Haniza.

PKR menggantung keahlian Haniza sejak 6 April lalu kerana menemui Azmin dan bekas naib presiden, Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Mengulas kedudukannya sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza berkata, khidmatnya dalam pentadbiran kerajaan negeri hanya akan tamat selepas beliau mendapat surat arahan daripada Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, beliau akan menjadi Adun bebas dan terus fokus berkhidmat kepada pengundi di kawasan diwakilinya.

Dengan pemecatan Haniza, PKR kini mempunyai 17 kerusi berbanding 21 kerusi yang dimenanginya di Selangor pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Ia selepas Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa, Muhammad Hilman Idham (Adun Gombak Setia) dan Dr Daroyah Alwi (Adun Sementa) mengumumkan keluar parti.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi dengan Pakatan Harapan memiliki 41 kerusi, iaitu PKR (17), DAP (16) dan Amanah (8), manakala Barisan Nasional (5), PAS (1), PPBM (5) dan bebas (4).

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker