Media Prima tamatkan khidmat 300 pekerjanya.



Fasa seterusnya bagi penstrukturan semula Media Prima Bhd akan menyaksikan 300 lagi pekerja akan ditamatkan kerja.

Kumpulan itu berkata surat notis telah dikeluarkan hari ini kepada pekerja yang terkesan – dengan tarikh akhir perkhidmatan mereka pada 31 Julai ini – sebagai sebahagian daripada langkah pengurangan kos.

“Inisiatif-inisiatif ini melibatkan perubahan operasi di unit-unit terpilih untuk mengatasi ketakcekapan kos yang timbul daripada pertindihan kerja.

“Transformasi perniagaan ini bertujuan menjadikan kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap dan mampan untuk jangka masa sederhana dan panjang,” kata Media Prima dalam kenyataan hari ini.

Media Prima berkata syarikat dan wakil daripada lima kesatuan sekerja telah mencapai persetujuan berkenaan pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan, seperti yang telah diumumkan pada 4 Jun lalu.




“Perbincangan bertujuan memastikan proses adalah telus dan semua obligasi keada kakitangan terjejas diberi keutamaan.

“Semua pihak memahami keperluan transformasi perniagaan dan juga bersetuju dengan mekanisma pampasan yang adil serta saksama kepada kakitangan terjejas seperti termaktub dalam undang-undang, perjanjian-perjanjian bersama kesatuan sekerja masing-masing dan kontrak pekerjaan,” katanya lagi.

Terdahulu, konglomerat media itu mengumumkan ia akan melaksanakan fasa seterusnya transformasi perniagaan susulan perubahan dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, yang ditambah lagi oleh wabak Covid-19.

Faktor-faktor tersebut menyebabkan pelaksanaan fasa seterusnya transformasi dipercepatkan, termasuk semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian, katanya.

Operasi Media Prima termasuk empat steven televisyen (TV3, ntv&, 8TV dan TV9), beberapa akhbar, empat stesen radio, dan sejumlah laman web dan beberapa syarikat pengiklanan.






Leave a Reply

Your email address will not be published.