Lelaki warga Bangladesh dijangkiti JE di Pontian

PEJABAT Kesihatan Daerah (PKD) Pontian, Johor menerima laporan satu kes Japanese Encephalitis (JE) membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh di daerah itu, pada Rabu lalu .

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu berkata, pesakit itu bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru sebelum itu pada 21 Mei lepas kerana mengalami demam dan tanda-tanda radang otak.

Menurutnya pesakit itu kemudian dirawat sebagai kes meningeal encephalitis dan seterusnya dibenarkan pulang dalam keadaan sihat pada 3 Jun lepas.

Namun begitu, berdasarkan laporan makmal yang diterima daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan kemudiannya, mangsa disahkan menghidap penyakit JE, kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

“Ekoran itu, PKD Pontian telah membuat siasatan kes di lapangan. Pesakit bekerja di sebuah kilang membuat bahan binaan di Ulu Choh, Pontian.

“Aktiviti pengesanan kes aktif di lokasi tempat tinggal dan kerja pesakit itu termasuk pencarian kes di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta berdekatan, telah dijalankan dengan seramai 390 orang disaring untuk gejala penyakit JE iaitu demam, sakit kepala, kekejangan leher, lemah otot atau sawan,” katanya.

Dr Aman berkata, hasil saringan itu bagaimanapun tidak mengesan kes baharu dan sehubungan itu, kes berkenaan disifatkan sebagai kejadian sporadik.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk terus mencari punca JE di sekitar kawasan itu. Bagi mengurangkan risiko jangkitan, masyarakat di kawasan ini dinasihatkan mengelak aktiviti di luar rumah pada waktu malam, menggunakan repelen dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang ketika berada di luar rumah untuk mencegah gigitan nyamuk.

“Selain itu, mereka dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami demam dan radang otak,” kata beliau.

Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker