Gopal Sri Ram Akan Dicabar Dengan Afidavit Bekas Peguam Negara TS Apandi Ali

KUALA LUMPUR: Najib Razak dan peguam mewakilinya Muhammad Shafee Abdullah akan menggunakan afidavit sokongan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dalam permohonan semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes mereka.

Dalam afidavit itu, Apandi mendakwa Sri Ram cuba meyakinkan beliau untuk menahan Najib yang ketika itu perdana menteri berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib menggunakan afidavit sama dalam permohonannya untuk melucutkan kelayakan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes laporan audit 1MDB dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 7 Ogos untuk mendengar permohonan itu.

Shafee, yang mewakili Najib memberitahu pemberita bahawa pihaknya menyerahkan notis untuk menggunakan afidavit itu kepada responden semalam (28 Jun).

“Mahkamah menetapkan 6 Julai untuk Sri Ram memberi jawapan balas terhadap afidavit Mohamed Apandi dan 13 Julai ditetapkan untuk perbicaraan,” katanya selepas perkara itu dikemukakan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya di dalam kamarnya hari ini.

Shafee berkata, adalah penting untuk mahkamah mendengar perkara itu kerana Sri Ram masih menjalankan tugas sebagai pendakwa raya dan sekiranya wujud masalah dengan pelantikannya, maka semua kes akan dibatalkan.

Peguam kanan persekutuan (SFC) Shamsul Bolhassan mewakili peguam negara/pendakwa raya, kerajaan Malaysia dan Sri Ram yang dinamakan sebagai responden.

Kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan pada 15 Okt, 2019, menolak permohonan Pejabat Peguam Negara ( AGC), Sri Ram dan kerajaan bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memberikan kebenaran kepada kedua-dua mereka untuk mencabar pelantikan itu.

Najib dan Shafee, secara berasingan, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Disember 2018 untuk mencabar keputusan peguam negara melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan pelantikan Sri Ram atau menggugurkan beliau, dengan berkata, surat pelantikan beliau tidak sah.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa wujud konflik kepentingan dalam pelantikan Sri Ram dan memohon perintah melarang beliau (Sri Ram) mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes dihadapi kedua-dua mereka, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Apandi, dalam afidavitnya, mendakwa pada lewat tengah hari pada Januari 2018, Sri Ram datang ke rumahnya di Jalan Dutamas di sini, selepas beliau (Sri Ram) membuat beberapa panggilan telefon kepadanya menyatakan mahu bercakap secara peribadi dengannya.

“Beliau (Sri Ram) berkata, “Tun M (bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad) hantar saya untuk berjumpa anda” dan beliau seterusnya berkata, “beliau (Tun M) mahu anda menahan Najib di pejabatnya, anda pergi esok pada 2 petang, kami telah aturkan polis di Putrajaya lakukan apa yang perlu berdasarkan arahan anda.

“Kami juga telah aturkan bagi majistret mengeluarkan perintah reman apabila beliau (Najib) dibawa ke hadapannya”, kata bekas peguam negara itu.

Apandi mendakwa Sri Ram memberitahunya bahawa beliau akan menjadi wira di mata rakyat dan akan menjadi peguam negara pertama menahan seorang perdana menteri yang sedang berkhidmat dan mereka telah menyediakan rancangan dan apa yang beliau (Sri Ram) perlukan kini adalah untuk dirinya bersetuju.

Bekas peguam negara itu berkata, Sri Ram mempunyai misi yang jelas berat sebelah terhadap Najib dan semua kes dihadapinya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker