Mohamad Ariff sahkan terima usul cadang khidmat beliau sebagai speaker ditamatkan

 

KUALA LUMPUR, 28 Jun  — Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai speaker Dewan Rakyat ditamatkan.

Beliau berkata turut diterima adalah usul mencadangkan supaya khidmat Nga Kor Ming sebagai timbalan speaker juga ditamatkan.

Mohamad Ariff berkata kedua-dua usul itu diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

Artikel Berkaitan: ‘Pertama dalam sejarah’ – PM serah usul singkir speaker Ariff, timbalan Nga

“Terpulanglah kepada Dewan untuk memutuskannya mengikut lunas-lunas Perlembagaan. Saya tiada masalah secara peribadi selagi proses demokrasi dan Perlembagaan dipatuhi,” katanya ringkas.

Sementara itu Nga yang juga Ahli Parlimen Telok Intan mengesahkan usul tersebut dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada petang Jumaat (26 Jun) lepas.

Nga sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan menghormati keputusan yang dibuat Dewan Rakyat sama ada mahu beliau dan Mohamad Ariff terus kekal atau melepaskan jawatan mereka mengikut perlembagaan dan peraturan Parlimen.

— BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker