Memadai periksa suhu badan di pintu masuk kompleks beli belah

Saringan suhu badan bagi mengekang penularan COVID-19 hanya perlu dilakukan di pintu utama pusat membeli-belah saja, dan tidak perlu dilakukan di semua premis perniagaan di situ.

Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata langkah itu sudah memadai, dengan syarat semua pengunjung menjalani saringan, selain penggunaan alat pengesan suhu badan yang mematuhi piawaian dan menunjukkan suhu badan pengunjung yang sihat iaitu antara 36.5 dan 37.4 darjah Celsius.

“Pihak pengurusan perlu memastikan tidak ada pengunjung yang terlepas daripada menjalani saringan.



“Selain itu, penggunaan alat pengesan suhu badan yang memenuhi piawaian amat penting supaya kita boleh yakin dengan bacaan yang diberikan.

“Jika semuanya menepati syarat berkenaan, saya tidak nampak ada keperluan saringan suhu badan dilakukan lagi di setiap kedai kerana suhu itu tidak akan berubah begitu cepat sekali,” katanya kepada BH, hari ini.

Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud. Foto fail NSTP/AZHAR RAMLI
Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud. Foto fail NSTP/AZHAR RAMLI
Beliau berkata demikian mengulas langkah pengambilan suhu badan di pusat membeli-belah yang tidak seragam, yang mana ada yang hanya mengambilnya di pintu masuk pusat membeli belah, dan ada juga di setiap premis perniagaan.

Dr Awang Bulgiba menjelaskan, bagi premis perniagaan, langkah yang perlu dilakukan adalah mewajibkan pengunjung membuat imbasan Kod QR melalui aplikasi MySejahtera atau mencatatkan nama dan nombor telefon, bagi rekod untuk pengesanan kontak jika terdapat kes COVID-19 dilaporkan di mana-mana premis.



“Selain itu, pemilik premis juga boleh mewajibkan pengunjung memakai pelitup muka dan melakukan sanitasi tangan,” katanya.

Premis perniagaan itu sendiri juga perlu melakukan sanitasi persekitaran dan peralatan, manakala pekerja premis memakai pelitup muka dan sentiasa melakukan sanitasi tangan.

“Kalau boleh jangan gunakan wang tunai. Gunakan kad kredit atau debit, atau melalui e-dompet bagi meminimumkan risiko penyebaran jangkitan,” katanya.

Bagi pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, pengesanan suhu badan perlu dilakukan di setiap premis perniagaan jika bacaan alat pengesan suhu badan di pintu masuk utama didapati tidak tepat.



“Berdasarkan pengalaman saya di pusat beli belah, tiada lagi penggunaan pengimbas suhu yang tepat digunakan setakat ini. Bacaan suhu badan saya pernah dicatatkan 34 darjah Celsius,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan aplikasi MySejahtera perlu digunakan di setiap premis perniagaan bagi memudahkan pengesanan kontak.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr Aminah Bee Mohd Kassim, pula berpandangan pengesanan suhu badan penting untuk dilakukan sama ada di pintu utama pusat beli belah atau premis perniagaan, bagi memudahkan pengesanan kontak.

“Ada juga orang yang datang ke pusat beli belah, tapi tidak masuk ke mana-mana premis, hanya ‘window shopping’. Kalau kes itu disaring di pintu masuk saja, bilangan kontak adalah ramai dan sukar untuk kita memberi penumpuan,” katanya.



BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker