Liverpool juara bergaya!

Terkini di My KMU !!!!---->

MINGGU ini adalah detik cukup bersejarah kepada peminat kelab bola sepak Liverpool di seluruh dunia – Liverpool diisytihar sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim 2019/2020.

Kali terakhir Liverpool menjuarai liga Inggeris ialah pada musim 1989-90. Ketika ini mereka merupakan raja bola sepak Inggeris tanpa pencabar kukuh – 18 kejuaraan liga dan 4 kejuaraan Eropah.

Manchester United, ketika itu hanya mempunyai 7 kejuaraan Liga Inggeris dan 1 kejuaraan Eropah.

Kini dengan satu kemenangan dalam tempoh 30 tahun, Liverpool menghampiri semula United dengan 19 kejuaraan liga berbanding United 20.

 

Kejuaraan Yang Penuh Catatan Sejarah

Dalam perjalanan menuju kejuaraan EPL, Liverpool telah memecahkan beberapa rekod dan berkemungkinan mencatatkan beberapa rekod baharu sebelum tamat musim ini.

EPL musim 2019/2020 merupakan satu catatan rekod kejuaraan terpantas yang baharu. Liverpool menjadi juara ketika perlawanan liga masih berbaki 7 perlawanan.

Rekod sebelum ialah ketika liga berbaki lima perlawanan dipegang bersama oleh Everton (1984-85) Manchester United (1907-08 dan 2000-01) dan Manchester City (2017-18).

Menurut EPL, pada tahun ini Liverpool telah dua kali memecah rekod mata terbanyak dalam 38 perlawanan liga Inggeris berturut-turut tanpa sekatan musim.

Pada Januari 2020, Liverpool mencatat rekod 104 mata, mengatasi pancapaian 102 mata oleh City (2018) dan Chelsea (2015). Rekod ini kemudian dipecahkan oleh Liverpool sendiri pada Februari 2020 dengan catatan 110 mata dengan 36 kemenangan, dua seri dan tanpa sebarang kekalahan.

Musim ini juga Liverpool mencatat rekod baharu mendahului liga dengan jurang sebanyak 25 mata. Ia pencapaian yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kelab EPL termasuklah pasukan ‘The Invincibles’ Arsenal (2003-2004) atau ‘Dream Team’ Manchester City (2017-2018).

Liverpool juga mencatatkan rekod baharu 23 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri (2019-2020) mengatasi rekod City sebanyak 20 kemenangan (2011 dan 2012).

Walaupun telah bergelar juara EPL, Liverpool mungkin memecahkan beberapa rekod lagi sebelum akhir musim ini.

Antaranya ialah rekod kemenangan terbanyak sebagai tuan rumah dalam satu musim. Liverpool mencatatkan 16 kemenangan dan berpeluang menyamai rekod 18 kemenangan oleh Chelsea, United dan City.

Malah, mereka mungkin mencatat rekod sempurna 19 kemenangan tuan rumah dalam satu musim.

Rekod pungutan 100 mata semusim oleh City (2017-2018) juga sedang diancam Liverpool. Liverpool memerlukan 15 mata dari 21 yang masih boleh direbut untuk mencatat rekod baharu.

Satu lagi rekod yang bakal dipadamkan oleh Liverpool ialah jurang mata terbesar dalam kejuaraan EPL. Rekod sekarang dipegang oleh City dengan 19 mata pada musim 2017-2018. Liverpool kini mendahului liga dengan 23 mata.

Liverpool telah beberapa kali disinggung nasib malang sewaktu hampir merebut kejuaraan liga. Musim 2001-2002, pasukan pimpinan Gerard Houlier dipintas oleh Arsenal dengan 7 mata.

Musim 2008-2009 pasukan pimpinan Rafa Benitez gagal merebut kejuaraan walaupun 86 mata yang dipungut mengatasi jumlah mata juara-juara musim sebelumnya.

 

Momentum

Musim 2013-2014 di bawah pimpinan Brendan Rodgers, pasukan itu sentiasa di atas puncak liga. Malangnya berbaki tiga perlawanan dengan jurang lima mata, Liverpool gagal mengekalkan momentum yang diperlukan akhirnya dipintas oleh City.

Musim lepas (2018-2019) Liverpool menerima satu lagi pengajaran perit. Di bawah pimpinan Jurgen Klop mereka hanya kalah satu perlawanan dan memungut 97 mata. Ia merupakan pungutan ketiga tertinggi sepanjang sejarah EPL selepas City 2017-2018 (100 mata) dan City 2018-2019 (98 mata).

Justeru, walaupun mendahului sejak awal musim ini, peminat masih skeptikal dan bimbang nasib malang Liverpool akan berterusan. Hanya pada Mac 2020, peminat Liverpool mula yakin pasukan kesayangan mereka pasti juara musim ini.

Namun, tanpa diduga muncul pandemik Covid-19 yang menyebabkan liga ditangguhkan dan nyaris dibatalkan. Pasti ramai bimbang nasib malang berulang lagi. Namun kali ini Covid-19 pun tidak mampu menghalang kemaraan Liverpool.

Liverpool bukan sahaja berjaya menamatkan kemarau kejuaraan liga Inggeris selama 30 tahun, tetapi mereka melakukan dengan penuh gaya dan kualiti tersendiri.

Minggu-minggu mendatang akan bergemalah lagu keramat You’ll Never Walk Alone di seantero dunia. Magis Liverpool kembali menguasai dunia bola sepak. #YNWA

* Ab Jalil Becker ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Leave a Reply