Kerajaan bincang dengan bank lanjut tempoh moratorium pinjaman 6 bulan

Kerajaan kini berbincang dengan bank bagi melanjutkan tempoh moratorium 6 bulan ke atas pinjaman, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini.

Beliau berkata, ini berikutan banyak permintaan daripada orang ramai supaya melanjutkan tempoh moratorium yang berakhir September.

Zafrul bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada bank.

“Terdapat banyak permintaan daripada orang ramai yang memerlukan lebih banyak masa di bawah moratorium tersebut (bagi mengatasi masalah kewangan mereka).

“Sebagai kerajaan, kita berbincang dengan bank. Sebenarnya bergantung kepada bank sama ada mereka boleh atau tidak boleh (lanjutkan moratorium),” katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat Prasarana Malaysia Berhad di sini, hari ini.

“Kita boleh tumpu pada kumpulan sasaran, tetapi kita tidak boleh memaksa bank,” katanya.

Zafrul menasihati orang ramai supaya mula berbincang dengan bank berhubung langkah penstrukturan semula pinjaman masing-masing kerana tarikh akhir moratorium semakin hampir.

Dalam pada itu, berhubung kemerosotan pengeluaran kasar dunia kepada 4.9%, beliau berkata, Malaysia, seperti juga ekonomi dunia, tidak akan terlepas daripada kesan negatifnya.

Beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku ke-3 dan ke-4 tahun ini bergantung kepada cara kita mengawal Covid-19.

Katanya, defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat antara 5.8% dan 6% daripada KDNK tahun ini berikutan pengumuman pelbagai pakej rangsangan ekonomi selepas ia terkesan teruk oleh wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengawal penularannya.

Beliau berkata, pakej rangsangan ekonomi bersifat dinamik.

“Jika terdapat idea baru, kami mahu mendengarnya.”

Dalam pada itu Zafrul berkata, kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk pas perjalanan tanpa had My30 bagi perkhidmatan LRT, MRT, BRT, monorel dan bas RapidKL untuk merancakkan ekonomi.

Sejak initiatif My30 diperkenalkan pada 15 Jun lepas lebih 62,000 pas perjalanan telah dijual.

“Ia merupakan perkembangan yang sangat menggalakkan memandangkan inisiatif ini dilaksanakan dalam tempoh PKP pemulihan,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker