Bekas gelandangan antara bakal calon PRU Singapura

DEBARAN… Buat julung kalinya, Singapura mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam suasana penuh norma baharu susulan pandemik global Covid-19 yang masih lagi belum reda.

Pesta demokrasi bakal berlangsung pada 10 Julai depan itu juga menyaksikan 2,653,942 pemilih berdaftar akan jalani proses pengundian paling ketat demi elak penularan wabak maut tersebut.

Ini termasuk pemakaian pelitup muka dan cuci tangan dengan cecair basmi kuman selain suhu badan diperiksa harus bawah 37.5 darjah Celsius sebelum boleh masuk ke pusat pengundian.

Pemilih juga diberi sarung tangan sebelum dapat kertas undi dan perlu dibuang ke dalam bakul disediakan ketika keluar, di samping ada tempoh khas bagi golongan berumur 65 tahun ke atas.



Kelompok ini diberi keutamaan mengundi antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari, manakala pengundi lain pula bebas datang selepas waktu itu hingga sebelum tamat pada jam 8 malam.

Seperti PRU-13, individu berusia lebih 21 tahun wajib mengundi atau nama dipadam daripada data senarai untuk PRU berikut malah kena bayar denda S$50 jika mahu kembali jadi pengundi.

Meskipun sudah melalui 13 kali PRU sejak berpisah daripada Malaysia pada 1965 dengan kali terakhir pada 11 September 2015 lepas, namun acara kali ini ternyata agak unik dan berbeza.

Ia ekoran kebimbangan jangkitan Covid-19 dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) dilaporkan tambah kepada 1,100 pusat pengundian berbanding 880 buah sahaja ketika PRU yang sebelumnya.



Situasi ini sejajar dengan pertambahan bilangan kerusi daripada 89 kepada 93 susulan proses persempadanan semula kawasan yang dimuktamadkan satu jawatankuasa pada 13 Mac lalu.

Bagaimanapun, PRU kali ini turut curi tumpuan banyak pihak apabila media republik itu mula siar bakal calon daripada pelbagai parti yang akan bertanding dan kisah menarik profil diri mereka.

Antaranya ialah Liyana Dhamirah yang buat penampilan sulung dalam arena politik bagi wakili parti Red Dot United (RDU) atau Titik Merah Bersatu dan baru ditubuhkan pada 15 Jun lepas.

Ia parti ke-13 yang didaftarkan di negara itu hasil perpecahan Progress Singapore Party (PSP) atau Parti Kemajuan Singapura, dengan bilangan ahlinya pula setakat ini baru ada 12 orang.



IKLAN

Justeru, Liyana terserlah dalam kalangan grup pertama calon RDU waima tiada pengalaman politik kerana pernah jadi personaliti awam susulan tular buku tulisannya sendiri, Homeless.

Beliau bercerita kehidupannya sebagai gelandangan kerana diusir ibu mertua pada 2009 ketika berusia 22 tahun dengan sarat hamil, terpaksa tidur di tepi pantai bersama dua anak kecilnya.

Namun beliau bangkit raih diploma bidang perniagaan sebelum jadi usahawan mengasaskan Virtual Assistants Singapore, syarikat yang beri sokongan pentadbiran kepada bisnes kecil.



Kini, ibu kepada empat anak itu aktif damping keluarga berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik malah menyertai politik kerana ingin cetus harapan untuk jutaan orang ditindas.

“Saya prihatin isu penjagaan dan pertumbuhan generasi semasa dan akan datang dengan bantu mereka hidup bermaruah, rasa hormat dan dorongan adalah penting bagi saya,” ujar Liyana.

Sekiranya dipilih masuk ke Parlimen, wanita berusia 33 tahun itu akan berusaha memanfaatkan pengalamannya demi perjuangkan nasib keperluan keluarga, usahawan dan golongan terpinggir.

Liyana menambah bahawa cabaran ketidaksamarataan dan isu kenaikan kos sara hidup perlu segera ditangani selain beliau mahu tingkat tahap kebertanggungjawaban siasah di Singapura.



“Ini memerlukan sektor politik yang seimbang, masyarakat awam yang aktif dan warga negara yang didampingi. Saya komited untuk meningkatkan ketiga-tiganya sekali,” tegas beliau lagi.

Nama Liyana sebenarnya bukan asing kerana tahun lalu, beliau dinobatkan penerima Anugerah Wanita Berdaya Tahan oleh Persatuan Kajian dan Tindakan Wanita Singapura (Aware). – EDISI 9

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker