18 kes baru Covid-19, 10 pesakit pulih hari ini

Share

18 kes baru Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 10 kes disahkan pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Jumlah kematian kekal 121 orang susulan tiada kematian dilaporkan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, 2 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tetapi tiada yang memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Noor Hisham, daripada 18 kes baru hari ini, 4 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan melibatkan 3 warganegara Malaysia serta seorang bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke dalam negara atas urusan kerja.

Manakala itu, daripada 14 kes penularan dalam negara, kesemua kes melibatkan bukan warganegara Malaysia.

“Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara terdiri daripada 9 kes saringan ulangan bagi kluster Pedas di Negeri Sembilan dan 2 kes saringan kluster Depot Tahanan Imigresen Sepang, Selangor.

“Dua kes saringan, iaitu 1 saringan ke atas banduan sebelum dibebaskan dari penjara dan 1 kes “severe respiratory acute infection” dari klinik kesihatan ke hospital di Sabah.

“Manakala di Kuala Lumpur, 1 kes saringan masuk kerja di tapak pembinaan,” katanya.

Setakat ini Malaysia merekodkan 8,634 kes Covid-19. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 195 kes dan sudah diasingkan serta diberi rawatan.

Leave a Reply