Tiga ahli ‘Geng Biawak’ diberkas, seorang lagi diburu

KULIM: Tiga ahli kumpulan samseng “Geng Biawak” yang terlibat dalam aktiviti samun dan pukul sekitar Kulim ditahan di Taman Merak, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Azhar Hashim, ketiga-tiga suspek diletakkan di bawah senarai ‘Dikehendaki’ susulan kejadian samun dan pukul seorang lelaki di Taman Bestari.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam tadi, Azhar berkata mangsa berusia 26 tahun berseorangan sedang bercakap di telefon di tepi jalan sebelum dihampiri dua motosikal ditunggangi empat suspek.

Dua suspek bertindak memukul mangsa dengan topi keledar manakala seorang lagi mencuri dompet dan telefon bimbit mangsa.



Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di kepala, tengkuk selain patah hidung dan dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan.

Bertindak daripada laporan ahli keluarga mangsa, polis telah memburu suspek dan berjaya menahan salah seorang daripada ahli kumpulan itu di sebuah rumah di Taman Merak pada jam 3.30 pagi tadi.

Susulan tangkapan, polis berjaya mengesan dan menahan dua lagi suspek tidak jauh dari lokasi suspek pertama ditahan.

Ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 23 tahun itu kini ditahan manakala seorang lagi rakan suspek masih diburu.



Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker