Tiada keperluan pinda akta DBP, kata Zuraida

TAIPING – Tiada keperluan untuk kerajaan meminda akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memberi sedikit kuasa kepada badan berkanun itu mengambil tindakan termasuk ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, PBT hanya perlu bersikap lebih tegas agar sebarang kesilapan dan penyalahgunaan bahasa sama ada di papan iklan, nama bangunan, kawasan perumahan dan bandar dapat ditangani sebaiknya.

“Kementerian sendiri sudah pun ada akta. Setiap permohonan sama ada bagi tujuan pengiklanan atau lain-lain mesti ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, ada kriterianya, jadi tak payahlah DBP ambil tugas itu, PBT boleh menguatkuasakannya.
“Jadi saya akan memperingatkan PBT untuk kuatkuasakan (akta) lebih tegas kepada mereka yang salah guna bahasa dan sebagainya,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting di sini hari ini.

Zuraida (tiga dari kiri) menyerahkan cek bayaran insurans berkelompok Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada Hasnah Hassan, balu Pegawai Bomba Kanan 1, Shabar Murshid Harun yang meninggal dunia Februari lalu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan seperti disiarkan Sinar Harian hari ini.

Dalam laporan itu, Dr Awang berkata, hampir kesemua daripada 150 PBT di seluruh negara dilihat tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu malah ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Jangan Tunggu Lagi, Beri DBP kuasa bertindak

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, untuk tempoh jangka panjang, satu koordinasi perlu ditetapkan antara PBT dan pihak pemohon agar merujuk kepada DBP bagi mendapatkan sebarang kepastian berhubung penggunaan bahasa.

“Sebagai contoh jika kurang pasti (penggunaan bahasa), maka kedua-dua pihak boleh rujuk kepada DBP untuk kepastian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya berpuas hati dengan keadaan balai bomba seluruh negara yang berada dalam keadaan teratur, selain kelengkapan peralatan terjaga dengan baik.

“Terdapat 317 balai bomba di seluruh negara ketika ini dan saya menyasarkan mengadakan lawatan ke lebih 100 balai tahun ini untuk melihat lebih dekat keadaan balai dan keperluan anggota yang perlu dipenuhi,” katanya.

Dalam majlis itu, Zuraida turut menyampaikan cek bayaran insurans berkelompok Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada Hasnah Hassan, balu Pegawai Bomba Kanan 1, Shabar Murshid Harun yang meninggal dunia Februari lalu.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman.

SH

Related Articles

One Comment

  1. bagaimana nak tegas kalau ramai pegawai atasan PBT seperti di Selangor & P. Pinang terdiri dari orang dap?

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker