Kerajaan Jangan Tunggu Lagi, Beri DBP kuasa bertindak

Share

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka menyarankan kerajaan meminda Akta DBP bagi membolehkan badan berkanun itu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan berkata, hampir kesemua daripada 150 PBT di seluruh negara dilihat tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu malah ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil ditetapkan.

Menurutnya, lebih malang DBP dipersalahkan apabila papan iklan, nama bangunan, kawasan perumahan dan bandar lebih mengutamakan nama asing berbanding bahasa Melayu.


“Apabila orang tidak faham tentang keterhadan kuasa DBP, maka orang mengatakan DBP ini ‘harimau kertas’, tidak ada gigi kerana tidak boleh bertindak.

“Masyarakat yang tidak memahami perkara tersebut akan beranggapan DBP perlu meruntuhkan papan iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di Menara DBP di sini semalam.

Bagaimanapun, Dr Awang berkata, DBP tidak boleh bertindak sedemikian kerana ia adalah di bawah bidang kuasa PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), majlis perbandaran dan majlis daerah.


“Ini badan yang diberi wibawa untuk memastikan bahasa kebangsaan itu diberi keutamaan seperti dalam undang-undang kecil periklanan.

“Tetapi menurut analisis DBP, daripada 150 PBT barangkali 10 yang agaknya ada keprihatinan terhadap dasar bahasa kebangsaan. Maka sebab itu, tempat awam penuh dengan bahasa asing. Begitu juga nama tempat, bangunan dan jalan.

“Mereka taasub kepada nama-nama hebat dari Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebagainya, serta diubah sesuka hati tanpa merujuk kepada PBT,” katanya.


 


Awang Sariyan

Menurutnya, sehubungan itu PBT perlu menggunakan kuasa untuk menangani perkara terbabit dengan menjiwai dasar bahasa kebangsaan.

Dr Awang yang pernah menjadi tenaga pengajar Pengajian Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University di China selama enam tahun berkata, papan iklan di China mengutamakan bahasa republik tersebut.

“Susah untuk melihat papan tanda itu dalam bahasa asing, ada pun sikit-sikit. Saya juga pernah jadi profesor tamu di Jerman, pun tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing, begitu juga di perancis apatah lagi di Jepun dan Korea,” katanya.

Oleh itu, beliau berpandangan Malaysia perlu memberikan sedikit kuasa kepada DBP untuk mengambil tindakan kepada pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Ketika ditanya mengenai bentuk hukuman atau denda yang bersesuaian, Dr Awang berkata, perkara tersebut melibatkan isu teknikal.

“Selama hampir 10 tahun perjuangan supaya hal memberi kuasa kepada DBP itu diangkat sebagai usul di Parlimen tidak berjaya kerana ada masalah teknikal.

“Sebagai contoh, kalau orang yang tidak gunakan bahasa kebangsaan ini, bagaimana dan berapakah dendanya? Kesalahan bahasa (seperti ejaan) pula berapa ringgit kena bayar?

Menurutnya, di Perancis terdapat undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas syarikat komersial yang tidak menggunakan bahasa Perancis.

Katanya, sebuah syarikat di Paris didenda beberapa ribu euro kerana tidak menggunakan bahasa Perancis dalam paparan laman webnya.

“Kita kalau pun tiada denda, sekurang-kurangnya ada tindakan yang boleh diperincikan,” katanya.

Leave a Reply