Pemegang saham fail permohonan kuasai pemilikan Bank Rakyat

Sekumpulan pemegang saham Bank Rakyat memfailkan cabaran undang-undang terhadap kerajaan bagi menguasai semula pemilikan bank tersebut.

Mereka mendakwa bahawa pemegang saham, yang terdiri daripada anggota koperasi, berhak bersuara dalam pengurusan harian bank berkenaan.

Pemegang saham itu berkata, pada 1978 kerajaan mengambil alih pengurusan bank itu bagi melindunginya daripada insolvensi dan salah pengurusan.

“Akta Bank Rakyat digubal untuk tujuan itu. Di bawah Seksyen 31 akta berkenaan, dinyatakan bahawa menteri yang bertanggungjawab ke atas Bank Rakyat boleh membatalkan undang-undang berkenaan sebaik sahaja kewangan (bank) pulih,” kata mereka dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan.

Kumpulan tersebut diketuai oleh Abdul Aziz Zainal, Mustafha Abd Razak dan Rahim Yunus berkata, perdana menteri ketika itu, Hussein Onn memberitahu Dewan Rakyat bahawa akta berkenaan adalah langkah sementara bagi membantu kewangan bank.

Mereka juga berkata, pemegang saham menghantar surat kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Redzuan Yusof sebanyak 2 kali supaya mengguna pakai Seksyen 31, tetapi beliau enggan berbuat demikian.

“Kami juga menulis kepada lembaga pengarah Bank Rakyat meminta mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membolehkan kami mendesak kerajaan mengguna pakai undang-undang tersebut, tetapi mereka menolaknya,” kata mereka.

Pemegang saham terbabit memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan menteri yang enggan mengguna pakai Seksyen 31, serta keputusan lembaga pengarah yang menolak permohonan EGM.

Mereka menamakan lembaga pengarah Bank Rakyat, menteri pembangunan usahawan dan koperasi, Kementerian Kewangan dan kerajaan dalam permohonan semakan kehakiman tersebut.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker