Keluhan Shahidan: Bila dapat jawatan, setiakawan semakin lerai? Ini Penjalasan Beliau.

Bila dapat jawatan, tugas parti terabai, “setiakawan makin lerai”.

Begitu keluhan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Shahidan Kassim.

Setakat ini tidak jelas pemimpin Umno itu menujukan perkara itu kepada siapa.

Bagaimanapun ramai ahli politik parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dilantik menerajui pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)

Anggota Parlimen Arau itu meluahkan perkara itu dalam statusnya di Facebook awal pagi tadi.

“Sebelum dapat jawatan fon (telefon) malam siang. Berjanji bersetia. Bila sudah dapat terus sibuk masalah negara.Tugas parti diabai. Setiakawan semakin lerai,” tulisnya.

Shahidan bagaimanapun telah memadam status itu sebentar tadi.

Beliau memberitahu Malaysiakini langkah itu diambil kerana terdapat salah faham.

Sementara itu, A Kadir Jasin, tokoh wartawan yang juga pendukung kuat Dr Mahathir Mohamad turut menyentuh perkara itu di Facebook beliau.

“Dia ini senior dan tekun tapi tidak dibagi apa-apa jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedangkan banyak rakan-rakan dia yang tak menyerlah dan junior dapat.

“Tak tahulah kalau dia tolak,” katanya.

“Saya faham keluhan kecewa dia. Memang betul. Masa tak ada jawatan, tengah malam buta WhatsApp. Pagi-pagi buta dah ajak sarapan.

“Dapat saja jatawan hilang. Ada yang rasa kita tak berguna lagi. Tapi ramai takut bos tahu mereka berkawan dengan kita,” katanya.

 

Penjelasan DS Shahidan Kassim

 

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Shahidan Kassim menegaskan beliau tiada masalah dengan kerajaan pusat pimpinan Muhyiddin Yassin.

Katanya, keluhan beliau sebelum ini berkaitan pengabaian tugas parti dan “setiakawan yang makin lerai” itu hanya merujuk kepada pergolakan dalaman Umno di Perlis.

“Posting itu dalam parti saya, di negeri sahaja,” kata anggota parlimen Arau kepada Malaysiakini sebentar tadi.Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan berkata itu.

Selepas pilihan raya umum lalu, timbul pergolakan dalam Umno Perlis berhubung calon menteri besar.

Shahidan mahukan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang, Ismail, yang juga adiknya, menjawat jawatan itu.

Istana bagaimanapun memilih Azlan Man.

Ismail selepas itu keluar Umno dan menyertai Bersatu tetapi kembali ke pangkuan parti asal selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.

Padam tulisan di Facebook

Sementara itu, Shahidan berkata beliau sudah pun memadamkan tulisannya di Facebook kerana salah anggap beliau mempunyai masalah dengan pusat.

“Itu tidak betul,” katanya.

Malah, katanya, tafsiran A Kadir Jasin, tokoh wartawan yang juga pendukung kuat Dr Mahathir Mohamad, berkaitan pekara itu lari maksud.

Katanya beliau selesa dengan jawatan disandangnya sekarang.

“Saya sudah ada kedudukan. Jadi pengerusi backbencher (PNBBC). Kira OK-lah tu. Semua orang ada GLC (syarikat berkaitan kerajaan), saya jadi pengerusi backbencher.

“Walaupun backbencher tak ada gaji tapi saya tidak kisah. Saya tetap pegang jawatan kehormat. Ia (jawatan ini) penuh penghormatan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker